Perak buka dua pusat transit gelandangan

Wan Norashikin (tengah) sedang menyantuni golongan gelandangan yang ditempatkan di Arena Badminton Perak yang dijadikan sebagai pusat transit golongan itu sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Wan Norashikin (tengah) sedang menyantuni golongan gelandangan yang ditempatkan di Arena Badminton Perak yang dijadikan sebagai pusat transit golongan itu sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak membuka dua pusat transit menempatkan gelandangan di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April nanti.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, selepas dibuka di Kamunting, Taiping, sebuah lagi pusat transit dibuka di Ipoh dengan menjadikan Arena Badminton Perak sebagai penempatan sementara golongan gelandangan ini.

Menurutnya, pusat transit yang dibuka semalam itu menempatkan seramai 77 penghuni terdiri daripada 64 lelaki dan 13 perempuan dengan hampir kesemua mereka dari daerah Kinta.

"Seperti mana yang dikatakan oleh Menteri Besar Perak sebelum ini, pusat-pusat penempatan ini diwujudkan bagi mengelak golongan gelandangan menjadi kluster terbaharu penyebar wabak koronavirus (Covid-19).

"Kita juga membuka pusat transit ini bagi memberikan perlindungan yang lebih baik kepada golongan gelandangan selain memudahkan pemantauan kesihatan golongan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Arena Badminton Perak di sini hari ini.

Hadir sama pada lawatan tersebut, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun dan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta, Kapten Muhammed Ameen Salleh Mura.

Wan Norashikin berkata, sepanjang tempoh PKP itu juga, semua gelandangan yang berada di situ diberi makan lima kali sehari dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan.

Katanya, selain itu juga, dalam tempoh perlindungan tersebut, semua gelandangan akan mengikuti beberapa program diatur agensi-agensi berkaitan yang disediakan khusus bagi mengubah sikap mereka agar dapat kembali kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Antara program yang dirancang termasuklah kesedaran kepada gelandangan mengenai wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini, program peningkatan sahsiah diri seperti penjagaan kesihatan diri dan kebersihan persekitaran.

"Program-program keagamaan untuk gelandangan Muslim turut diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menjelang Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, satu pusat isolasi juga dibuka di Arena Squasy Perak di sini bagi menempatkan golongan gelandangan yang tidak sihat atau mempunyai gejala seperti batuk dan selesema.

Pada 15 April lalu, sebuah pusat transit untuk gelandangan dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Pinang, Taman Kamunting Permai, Taiping.

Dalam perkembangan lain, Wan Norashikin berkata, isu bantuan makanan yang tidak diagih seperti ditularkan sebelum ini telahpun diselesaikan.

Katanya, semua daerah mempunyai penyelaras yang dilantik dan barang-barang disimpan sebelum ini sudah diagih kepada rakyat memerlukan.

Sebelum ini, isu bungkusan makanan tidak dapat diagih di Manjung yang tular di media sosial mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.