Akad nikah 'online' pertama di Malaysia hari ini

Majlis pernikahan secara online yang berlangsung pagi tadi.
Majlis pernikahan secara online yang berlangsung pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, majlis ini selaras dengan garis panduan yang disediakan oleh Jawi pada 17 April lalu yang berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-97 yang bersidang pada 15 hingga 17 Disember 2011 yang memutuskan bahawa harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat yang ditetapkan.

Majlis pernikahan secara sidang video itu membabitkan Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, yang disempurnakan dalam sekali lafaz.

Majlis diadakan pada jam 10.10 pagi tadi di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan disaksikan Zulkifli dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Artikel Berkaitan: