Masalah air di Selangor pulih sepenuhnya tengah malam ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang terjejas di Selangor sejak pagi semalam dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya tengah malam ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, sebanyak 1,132 kawasan atau kira-kira 87 peratus daripada akaun pengguna terjejas telah mula mendapat bekalan air setakat jam 6 pagi tadi.

Menurutnya, sebanyak 160 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan bekalan.

"Setakat ini pengguna di wilayah Hulu Selangor dan Kuala Lumpur telah menerima bekalan air sepenuhnya.

"Kadar pemulihan bekalan di Kuala Selangor pula mencapai tahap 99 peratus; Gombak (97 peratus) ; Petaling (96 peratus); Klang/Shah Alam (71 peratus) dan Kuala Langat lima peratus," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kadar pemulihan bekalan air mengikut wilayah setakat jam 6 pagi tadi
Kadar pemulihan bekalan air mengikut wilayah setakat jam 6 pagi tadi

Beliau berkata, Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Katanya, bantuan lori-lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan terjejas sehingga bekalan air pulih seperti sedia kala.

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor menasihatkan pengguna untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bekalan air berjalan lancar seperti yang dijadualkan," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi pada jam 11 malam Khamis lalu.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihentikan operasi berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.