PKP: Padah keluar gunting rambut, empat warga asing didenda

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara mahu memotong rambut di sebuah kedai gunting rambut semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua, empat lelaki warga India dan Myanmar masing-masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Salam Nur Alam, 22, Roka Dhaniram, 23, Shankaralingam Prabaharan, 36, dan Thanga Raja, 33, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadap mereka.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja telah berhimpun dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah yang mengkehendaki mereka berada di dalam rumah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2020 di sebuah kedai gunting rambut di jalan besar Selayang Baru, Batu Caves, Gombak di sini pada 2.40 petang, 11 April lepas.

Mereka dituduh mengikut Peraturan 6(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pihak polis telah membuat pemantauan Ops Covid-19 di sekitar kawasan itu dan mendapati sebuah kedai gunting rambut sedang beroperasi dan polis kemudiannya menahan semua OKS kerana berada di situ.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap semua OKS.

“PKP dilaksanakan kerajaan adalah untuk memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung dan rakyat duduk di rumah serta tidak boleh keluar rumah tanpa alasan munasabah.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula, kedai gunting rambut bukan perkhidmatan yang penting dan tiada keperluan untuk dibuka,” katanya.

Bagaimanapun, peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua OKS memohon hukuman denda minimum kerana mereka telah menyesal atas perbuatan itu.

“Mereka berada di kedai gunting pada 2.00 petang untuk memotong rambut dan mereka juga tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.- Bernama