Enam ditahan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Tersang

Jengkaut yang digunakan bagi aktiviti perlombongan emas secara haram yang disita di Hutan Simpan Tersang, Raub. - Foto ihsan JPNP
Jengkaut yang digunakan bagi aktiviti perlombongan emas secara haram yang disita di Hutan Simpan Tersang, Raub. - Foto ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Enam lelaki termasuk seorang warga Myanmar ditahan Unit Penguatkuasa Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) selepas didapati melombong secara haram di Hutan Simpan Tersang, Raub di sini semalam.

Kesemua individu itu yang berusia 46 hingga 56 tahun ditahan di rumah kongsi di Komparment 85 hutan simpan terbabit hasil aduan penduduk setempat.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, hasil aduan penduduk setempat, operasi bersepadu diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan, Mohd Nashir Sabri Ibrahim bersama lapan anggota pasukan Unify Enforcement itu turut disertai Pejabat Tanah dan Daerah Raub serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Raub.

"Kita berjaya menahan lima lima lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar di dalam sebuah rumah kongsi di sini dan kita percaya mereka dalang utama aktiviti perlombongan emas secara haram yang dilakukan dengan menggunakan kaedah palong.

"Kita turut menyita dua unit pam air, dua tong minyak, dua palong emas dan dua jengkaut yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu.

"Jentera dan peralatan melombong yang disita disimpan di Pusat Rampasan Barang Kes JPNP di Batu 18, Tersang di sini bagi siasatan lanjut mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, enam lelaki yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan selanjutnya kerana mereka terbukti melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Mohd Hizamri berkata, pihaknya akan terus menjalankan rondaan dan serbuan bagi memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindah hasil hutan dapat disekat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, anggota JPNP sentiasa membuat pemantauan terutama di kawasan panas seluruh negeri.

"Jadi, kita beri amaran supaya jangan ada individu atau kumpulan melakukan kesalahan menceroboh hutan sepanjang PKP kerana tindakan tegas pasti akan diambil terhadap mereka tidak patuhi undang-undang," katanya.

Menurutnya, hampir sebulan PKP dilaksanakan, pihaknya telah mengesan empat kes lombong emas haram di Kuala Lipis dan Muadzam Shah.

Beliau turut memuji kesungguhan anggota penguatkuasa JPNP yang sanggup bertugas sedang rakan mereka lain mendapat pelepasan bertugas berikutan wabak Covid-19.

"Komitmen yang diberikan mereka amat saya hargai," katanya.