Lelaki warga asing ditahan rompak kedai emas

Tular video memaparkan suspek ditangkap orang awam berhampiran sebuah pasar di Tawau.
Tular video memaparkan suspek ditangkap orang awam berhampiran sebuah pasar di Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki merompak sebuah kedai emas menggunakan senjata gagal di Jalan Dunlop, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi apabila suspek lelaki berusia 30-an bertindak memecahkan rak kaca di dalam kedai tersebut menggunakan tukul besi.

"Suspek kemudian mengambil dua utas rantai emas palsu sebelum bertindak melarikan diri tetapi berjaya ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

"Anggota kereta peronda polis (MPV) yang sedang bertugas kemudian menahan suspek selepas diserahkan oleh orang awam bersama barang kes iaitu beg galas, tukul besi dan juga rantai berkenaan yang dianggarkan RM500," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif.

"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan perintah reman.

"Suspek turut disiasat di bawah Akta Imigresen kerana masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 14 saat memaparkan seorang lelaki ditahan oleh orang ramai dalam kejadian berhampiran sebuah pasar di Tawau.