ICERD: Kenyataan media sah secara moral, undang-undang

 Gambar kecil: Dr Muhammad Fathi Yusof
Gambar kecil: Dr Muhammad Fathi Yusof
A
A
A
KUALA LUMPUR – Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengenai keputusan kerajaan PH tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dianggap sebagai kenyataan rasmi yang dikira sah sama ada secara moral atau secara undang-undang.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, kenyataan media Pejabat Perdana Menteri berkaitan ICERD adalah mengikut cara yang sama dengan beberapa kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang lain.

Menurut beliau kenyataan itu bermaksud bahawa kerajaan PH 'tidak akan meratifikasi' itu membawa maksud bahawa ratifikasi tidak akan berlaku selagi mana gabungan parti yang memimpin kerajaan ini bernama gabungan Pakatan Harapan.

“Perkataan yang digunakan oleh Perdana Menteri bukannya 'menangguhkan' atau 'mengkaji semula' tetapi 'tidak akan'.

“Jadi kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan dan PH yang menyebut bahawa akan 'mengkaji', menangguhkan atau sebagainya dengan sendirinya tidak terpakai,” katanya kepada Sinar Harian.

Hal demikian, Muhammad Fathi berkata, diharapkan selepas ini semua pemimpin sama ada dipihak kerajaan mahupun pembangkang sama ada menteri, timbalan menteri atau ketua-ketua parti dalam PH menghormati kenyataan ini dan mengamalkan konsep tanggungjawab bersama (collective responsibilty) iaitu dengan menyeragamkan sikap dan pandangan.

“Tentunya dalam hal ini kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang perlu dirujuk,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno curiga tindakan PH tolak ICERD]

Semalam,Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri berhubung keputusan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD didakwa tidak mengikut formaliti pentadbiran.
Artikel Berkaitan:


Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata keputusan itu hanya boleh disahkan melalui tandatangan Dr Mahathir, sebelum usul berkenaan kemudiannya dibawa ke Parlimen untuk direkodkan secara rasmi.

“Pendekatan ini tidak boleh diterima dan tidak menjamin ia akan kekal dan boleh berubah bila-bila masa saja, apatah lagi keputusan itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Selagi ia tidak dimasukkan ke dalam Penyata Rasmi Harian (Hansard) Parlimen, sukar untuk kami mempercayai keikhlasan kerajaan dan kita gesa supaya mereka mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengumumkan keputusan yang dibuat,” katanya.

Kabinet semalam sebulat suara, menangguhkan ratifikasi ICERD demi kepentingan rakyat dan keselamatan negara.