Kes tipu jual topeng muka cecah kerugian RM1.93 juta

Muhammad Yazid
Muhammad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kes penipuan jual beli topeng muka di Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac sehingga semalam, merekodkan kerugian mencecah RM1.93 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, kerugian itu melibatkan 160 kes yang diterima pihaknya.

"Siasatan yang dijalankan berjaya membuat 22 tangkapan melibatkan 17 kertas siasatan. Setakat ini dua individu telah dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

"Bagi tempoh ini juga, statistik melibatkan jenayah siber dan multimedia di Selangor sepanjang PKP ini merekodkan 283 kes berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 184 kes sekali gus peningkatan 53.8 peratus," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Katanya, antara kes yang menyumbang peningkatan adalah Pinjaman Tidak Wujud (PTW) iaitu 128 kes direkodkan berbanding 66 kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Oleh yang demikian, orang ramai hendaklah lebih bijak mengendalikan sebarang panggilan yang diterima daripada mana-mana pihak yang mengaku sebagai polis atau agensi penguat kuasa lain. Tiada sebarang bentuk panggilan memerlukan pendedahan nombor akaun atau butiran peribadi.

"Bagi sebarang iklan di laman media sosial berkenaan pinjaman peribadi, usah mudah percaya dan elak memberikan nombor akaun atau nombor pin kepada pihak tidak dikenali," katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga disaran untuk membuat semakan di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum membuat sebarang transaksi secara dalam talian bagi mengesan nombor akaun yang digunakan pihak sindiket.

Artikel Berkaitan: