Agensi kerajaan, pasar raya lokasi tumpuan derma darah

Mohd Suhairy (kanan) dan Abu Obaidat melihat Kamarulzaman yang menderma darah ketika Program Derma Darah JBPM Melaka di Bukit Katil hari ini.
Mohd Suhairy (kanan) dan Abu Obaidat melihat Kamarulzaman yang menderma darah ketika Program Derma Darah JBPM Melaka di Bukit Katil hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Hospital Melaka mengambil pendekatan menghebahkan aktitiviti pihaknya terutama program derma darah melalui media sosial seperti Facebook dan blog.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka, Mohd Suhairy Sazali berkata, bagi tujuan tersebut pihaknya memilih lokasi tumpuan seperti pasar raya dan agensi kerajaan.

"Bagaimanapun, setiap lokasi penganjuran diwajibkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengehadkan jumlah tidak lebih 50 orang dalam satu-satu masa selain melakukan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu.

"Biarpun setakat ini bekalan darah mencukupi dan darah jenis O dan AB masih di tahap selamat, namun jenis darah A dan B sekarang berada pada tahap sederhana dan perlu ditambah bagi memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Derma Darah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Abu Obaidat Mohamad di Ibu Pejabat JBPM Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.

Mohd Suhairy berkata, pihaknya turut mewujudkan pusat menderma darah di hospital daerah seperti Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin agar penderma darah tidak tertumpu hanya satu lokasi, sekali gus mengurangkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan penderma darah untuk ke Hospital Melaka.

Sementara itu, seorang penderma yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd Din berkata, derma darah sudah dilakukannya sebanyak 36 kali sejak mula menyertai badan beruniform itu pada 1980 di Kuantan, Pahang ketika berusia 20 tahun.

Menurutnya, banyak kelebihan boleh diperoleh penderma darah selain badan lebih sihat dan cergas.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, walaupun hampir bersara Jun depan, namun saya akui sejak menderma darah, kesihatan bertambah baik dan di usia 60 tahun syukur, saya tidak mengidap sebarang penyakit," katanya.

Katanya, biarpun sibuk di lapangan dengan pelbagai tugasan dalam keadaan negara dilanda Covid-19, namun beliau masih mempunyai kesempatan untuk menderma darah.