Kes tikam pelajar: Remaja sakit mental sejak lima tahun lalu - Doktor pakar

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa, remaja lelaki 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, mengalami penyakit mental sejak lima tahun lalu.
Peguam, Kitson Foong berkata, perkara itu dimaklumkan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony ketika hadir memberi keterangan selaku saksi pembelaan kedua dalam kes berkenaan.
Semasa prosiding yang dibuat secara tertutup, beliau berkata, Dr Ian juga memberitahu tertuduh juvana tersebut mengalami masalah psikiatri ketika berusia 10 tahun
Katanya, keadaan menjadi semakin serius kerana tidak mendapat rawatan awal di hospital.
“Dr Ian juga memberitahu bahawa penama bukan mengalami satu ilusi sahaja, tetapi pelbagai gangguan.
“Tempoh lima tahun tanpa rawatan menyebabkan masalah berkenaan berkembang beberapa kali ganda, selain memberi kesan lebih besar terhadap minda penama terbabit,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu boleh diibaratkan seperti penyakit kanser yang hanya dirawat ketika sudah mencapai tahap empat, berbanding dikesan pada peringkat awal.
Kitson berkata, ketiadaan rawatan dalam tempoh terbabit dipercayai menyebabkan manifestasi penyakit mental itu menjadi lebih serius.
Beliau berkata, keadaan tersebut juga boleh menjadi semakin kompleks apabila berlaku secara berterusan dalam minda kanak-kanak yang masih belum matang sepenuhnya.
Katanya, saksi pembelaan terakhir tersebut juga menambah, penyakit tertentu boleh menjadi semakin besar, lebih-lebih lagi dalam minda seorang kanak-kanak.
Disebabkan isu berkenaan katanya, pembelaan memanggil saksi tersebut bagi menyokong keterangan bahawa tertuduh mengalami ketidakwarasan mental di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, Dr Ian turut bersetuju bahawa, sebelum ini tertuduh mula dirujuk untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan psikiatri.
Katanya, tertuduh dirujuk kepada Hospital Bahagia ketika peringkat Mahkamah Majistret dan doktor berkenaan dipilih untuk menjalankan penilaian serta rawatan terhadapnya.
“Kita jangka bicara bela diri akan tamat hari ini dan kami akan menutup selepas pihak pendakwaan selesai menyoal balas saksi tersebut.
“Mahkamah mungkin akan menetap tarikh baharu untuk keputusan di akhir kes pembelaan,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, remaja itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun iaitu pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.
Sementara pembelaan turut diwakili peguam, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.
Peguam pemerhati pula ialah Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng bagi pihak Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
Prosiding di hadapan Hakim, Adlin Abdul Majid bersambung jam 2.30 petang Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

