Kes tikam pelajar: Remaja diperintah bela diri

SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas mendapati wujud prima facie di akhir kes pendakwaan.
Kes berkenaan dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri pihak pendakwaan, pembelaan dan ahli keluarga, memandangkan kejadian didakwa dilakukan ketika tertuduh masih di bawah umur.
Peguam, Kitson Foong yang mewakili remaja terbabit berkata demikian ketika dihubungi media.
Beliau kemudiannya meneruskan prosiding bela diri dengan memanggil dua saksi sahaja iaitu tertuduh sendiri dan pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.
Pelajar itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun yang juga pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.
Sementara pembelaan turut diwakili peguam, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.
Peguam pemerhati pula oleh Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng bagi pihak Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
