Kes tikam pelajar: 'Saya minta maaf sebabkan kematian’


SHAH ALAM – “Saya minta maaf atas perkara yang berlaku sehingga menyebabkan kematian.”
Demikian kata remaja lelaki berusia 15 tahun kepada peguamnya, Kitson Foong, ketika prosiding membela diri di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Ia membabitkan kes membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, tahun lalu.
Prosiding di hadapan Hakim, Adlin Abdul Majid, dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri pihak pendakwaan, pembelaan serta ahli keluarga, memandangkan remaja itu masih di bawah umur.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Kitson berkata, anak guamnya selaku saksi pembelaan pertama memberikan keterangan di luar kandang tertuduh selepas membaca kenyataan ringkas dalam bahasa Mandarin.
“Selepas diperintah membela diri, dia memberikan keterangan dalam bahasa Mandarin secara tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan,
“Dia minta maaf atas perkara yang berlaku sehingga menyebabkan kematian di sekolah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, prosiding diteruskan dengan keterangan pakar perunding forensik psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony, sebagai saksi pembelaan kedua dan terakhir.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.
Pelajar itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun yang juga pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.
Sementara pembelaan turut diwakili peguam, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.
Peguam pemerhati pula oleh Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng bagi pihak Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
Prosiding bersambung jam 2.30 petang Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

