Kecuaian perubatan: Mahkamah Rayuan tolak rayuan guru agama

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan seorang guru agama berhubung saman kecuaian perubatan terhadap Kerajaan Malaysia serta pegawai dan petugas perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP), yang merawatnya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Panel tiga hakim dibarisi Hakim Datuk Dr Shahnaz Sulaiman, Datuk Nadzarin Wok Nordin dan Datuk Amarjeet Singh sebulat suara menolak rayuan itu serta memerintahkan Mohammad Nabill Sajid Mohammad Aslam Sajid membayar kos berjumlah RM30,000.

Ketika menyampaikan keputusan, Hakim Shahnaz berkata, mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan yang boleh dijadikan alasan untuk campur tangan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, yang pada asasnya membuat dapatan fakta berdasarkan keterangan dikemukakan.

Beliau berkata, dalam kes tuntutan ganti rugi akibat kecuaian perubatan, penilaian dibuat berdasarkan standard kecekapan dan kemahiran yang sewajarnya dimiliki oleh seorang pengamal perubatan yang munasabah dan kompeten.

"Perbezaan pendapat dalam kalangan pengamal perubatan tidak boleh dianggap sebagai kecuaian perubatan sekiranya rawatan yang diberikan berlandaskan pandangan perubatan yang munasabah.

"Dengan kata lain, seseorang doktor tidak boleh dianggap cuai hanya kerana doktor lain mungkin memilih pendekatan rawatan yang berbeza,” katanya.

Mohammad Nabill yang ketika itu berusia 21 tahun terbabit nahas jalan raya pada 11 Julai 2020, mengakibatkannya mengalami kecederaan parah pada saraf tunjang.

Dia memfailkan saman terhadap kerajaan serta 31 pegawai dan petugas perubatan HPP, dengan mendakwa mereka gagal menjalankan tanggungjawab profesional dan mematuhi standard penjagaan yang sepatutnya ketika merawatnya, menyebabkannya mengalami kecacatan serius.

Mohammad Nabill berkata, akibat kecacatan serius itu, dia terpaksa bergantung pada bantuan orang lain untuk menguruskan keperluan dan aktiviti harian sepanjang hayatnya.

Artikel Berkaitan:

Pihak defendan, katanya gagal menjalankan pembedahan penyahmampatan bagi mengurangkan tekanan pada saraf tunjangnya dalam usaha menyelamatkan saraf tunjang itu.

Dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM400,000 bagi kesakitan dan penderitaan serta kehilangan nikmat kehidupan, RM2,943,078 bagi kos penjagaan kejururawatan, kehilangan pendapatan (RM212,726), kos pembelian kenderaan mesra orang kurang upaya (RM701,600), kos pengubahsuaian rumah (RM58,912), ganti rugi khas (RM29,005) serta RM500,000 sebagai ganti rugi tambahan.

Pihak defendan mendakwa mereka telah memberikan rawatan dengan tahap penjagaan profesional sewajarnya serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard klinikal, selain pada ketika itu, keadaan Mohammad Nabill masih belum cukup stabil untuk menjalani pembedahan penyahmampatan.

Mahkamah Tinggi menolak saman difailkan Mohammad Nabill pada April 2025 setelah memutuskan pihak defendan tidak melanggar kewajipan penjagaan terhadapnya.

Pada prosiding hari ini, Mohammad Nabill diwakili peguam Datuk M. Karuppanan dan M. Diveena manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd ‘Afif Ali dan Peguam Persekutuan Amirul Hisyam Azedi Noor mewakili kerajaan serta pegawai dan petugas perubatan berkenaan.- Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!