Kes tikam: Keputusan bela diri atau bebas Khamis ini

Kitson (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.
Kitson (kanan) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Keputusan sama ada seorang pelajar lelaki 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama diperintah membela diri atau dibebaskan akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis depan.

Hakim, Adlin Abdul Majid menetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan itu, selepas saksi pendakwaan ke-11, pegawai penyiasat Asisten Superintenden Ahmad Zarrin Abd Rashid selesai memberi keterangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut ditikam: Pengaruh permainan video, media sosial antara elemen siasatan - Polis

Pelajar maut ditikam: Laporan patologi dijangka siap dalam tempoh 3 bulan

Pelajar maut ditikam: Selangor perketat keselamatan sekolah guna CCTV

Pelajar maut ditikam: 'Anak saya tak pernah jumpa, berhubung dengan suspek' - Ibu

Peguam, Kitson Foong yang mewakili remaja terbabit berkata, keputusan dijangka diumumkan pada jam 9 pagi.

Menurutnya, perbicaraan di peringkat pendakwaan berlangsung selama enam hari bermula Isnin minggu lalu dengan seramai 11 saksi hadir ke mahkamah.

“Pihak pendakwaan telah menutup kes hari ini selepas semua saksi memberi keterangan iaitu pegawai patologi, ibu mangsa, bekas guru besar sekolah, empat guru dan tiga saksi kanak-kanak termasuk abang tertuduh.

Artikel Berkaitan:

“Pegawai penyiasat pula memberi keterangan selama tiga hari sejak Khamis lalu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Beliau berkata, hampir 100 eksibit dikemukakan sepanjang perbicaraan, termasuk pisau yang didakwa digunakan untuk menikam mangsa serta sebuah buku tulis anime ‘Death Note’.

Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat selepas kejadian tikam di sekolah menengah di Bandar Utamapada Oktober tahun lalu.
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat selepas kejadian tikam di sekolah menengah di Bandar Utamapada Oktober tahun lalu.

Kitson berkata, mahkamah selepas ini akan menentukan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap anak guamnya atau sebaliknya.

“Sekiranya mahkamah memutuskan anak guam saya perlu membela diri, prosiding pembelaan akan bermula serta-merta.

“Kami mungkin hanya memanggil dua saksi sahaja iaitu tertuduh sendiri dan pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony,” katanya.

Menurutnya, Dr Ian merupakan antara 30 saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

“Memandangkan kami hanya akan memanggil dua saksi, kemungkinan besar pihak pembelaan akan menutup kes selepas kedua-duanya selesai memberi keterangan.

“Mahkamah dijangka menetapkan tarikh lain untuk keputusan di akhir kes pembelaan, mungkin pada akhir bulan ini,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.

Remaja itu yang ketika kejadian merupakan pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan), didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan

Nurul ‘Izzati Mohamad.

Sementara pembelaan turut diwakili peguam, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.

Peguam pemerhati pula oleh Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng bagi pihak Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!