Rakyat Malaysia, rakan subahat maut operasi antidadah di Tawi-Tawi, syabu AS$209,600 dirampas

COTABATO CITY (Filipina) - Ejen antidadah Filipina dengan bantuan polis dan anggota Marin Filipina menggagalkan cubaan seorang rakyat Malaysia bersama rakan subahatnya warga Filipina untuk menjual dadah jenis syabu bernilai PHP13.4 juta (AS$209,600) dalam operasi penyamaran pembelian dadah di Tawi-Tawi pada hujung minggu, menurut seorang pegawai pada Isnin.
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan bahawa kedua-dua suspek maut selepas melepaskan tembakan ke arah anggota penguat kuasa dalam operasi kira-kira jam 4.50 petang Ahad (15 Nov) di Barangay Tubig Mampallam, Bongao, Tawi-Tawi, apabila menyedari mereka berurusan dengan ejen antidadah.
Pegawai Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) wilayah Tawi-Tawi, Abraham Solon Kalim, mengenal pasti suspek yang maut sebagai Janimal Hajad, yang juga dikenali sebagai "Ungod”, seorang rakyat Malaysia, dan Sansibar Amirul Amil, warga Filipina.
"Dua wanita yang belum dikenal pasti identiti mereka turut cedera akibat terkena tembakan sesat dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam laporan kepada pejabat wilayah PDEA bagi Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di sini.
Kalim berkata, pasukan keselamatan kerajaan dengan bantuan anggota Marin Filipina dan polis merampas kira-kira dua kilogram bahan disyaki syabu yang dibungkus dalam dua paket teh Cina, dengan anggaran nilai standard PHP13.4 juta (AS$209,600).
Pihak berkuasa turut menemukan sepucuk pistol dan sebuah bot kayu bermotor yang dipercayai hendak digunakan suspek untuk melarikan diri.
Menurut PDEA, kejadian berbalas tembakan tercetus selepas suspek menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dan cuba melarikan diri menaiki bot sambil melepaskan tembakan ke arah anggota PDEA.
Tiada anggota pasukan keselamatan kerajaan yang cedera.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
