CAP gesa KKM tarik papadom berpewarna berlebihan

Antara papadom berwarna yang dikenalpasti dijual di pasaran tempatan.
Antara papadom berwarna yang dikenalpasti dijual di pasaran tempatan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Kesihatan (KKM) digesa segera menjalankan ujian makmal dan menarik balik daripada pasaran papadom berwarna yang mengandungi pewarna tiruan secara berlebihan atau bahan pewarna yang dilarang susulan kebimbangan terhadap risiko kesihatan pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat susulan tindakan Jabatan Keselamatan Makanan Tamil Nadu (TNFSD) di India yang mengarahkan larangan penjualan papadom berwarna mengandungi pewarna tiruan secara berlebihan.

Menurutnya, tindakan berkenaan perlu menjadi peringatan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk memperketat pemantauan terhadap produk makanan import yang dijual di pasaran tempatan.

“CAP baru-baru ini menjalankan tinjauan pasaran di Pulau Pinang dan mendapati papadom berwarna terang dari India masih mudah didapati di pasaran tempatan.

“Produk berkenaan turut dijual pada harga murah dengan sesetengahnya serendah RM1.25 bagi setiap 100 gram, sekali gus menjadikannya mudah diperoleh pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohideen berkata, warna yang terang serta harga murah berpotensi menarik perhatian pengguna termasuk keluarga yang membeli makanan ringan untuk kanak-kanak.

“Menurut TNFSD, pengambilan pewarna sintetik secara berlebihan boleh menyumbang kepada masalah penghadaman, reaksi alahan dan komplikasi berkaitan buah pinggang.

“Pendedahan jangka panjang kepada pewarna makanan tiruan tertentu yang dilarang atau digunakan secara berlebihan turut dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit serius termasuk kanser,” katanya.

Beliau menambah, kanak-kanak juga mungkin lebih terdedah kepada risiko tertentu berikutan terdapat kajian yang mengaitkan sesetengah pewarna makanan tiruan dengan masalah tingkah laku seperti Gangguan Hiperaktif Kekurangan Perhatian (ADHD) dalam kalangan individu yang rentan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Mohideen berkata, CAP menggesa KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan supaya menjalankan pensampelan serta analisis makmal terhadap papadom berwarna yang dijual di seluruh negara.

Katanya, pemeriksaan perlu meliputi pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka, pasar malam, gerai tepi jalan serta premis yang menjual makanan import.

“Jika terdapat produk yang mengandungi pewarna melebihi paras dibenarkan atau bahan pewarna terlarang, produk berkenaan perlu ditarik balik daripada pasaran dan penjualannya dihentikan serta-merta.

“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya juga perlu diambil terhadap pengimport, pengedar dan peruncit yang bertanggungjawab,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan terhadap makanan ringan import juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 khususnya berkaitan penggunaan bahan tambah makanan serta pewarna yang dibenarkan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan penampilan makanan ringan yang mempunyai warna terang ketika membuat pembelian untuk anak-anak.

“Pengguna disaran memilih papadum yang disediakan secara tradisional menggunakan bahan semula jadi seperti urad dal dan tepung beras serta tidak bergantung kepada penggunaan pewarna tiruan secara berlebihan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!