Gabungan mana akan untungkan BN di Perak?

GELOMBANG biru yang melanda Johor dan Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri memperlihatkan keberkesanan kerjasama antara parti-parti politik dalam memastikan kemenangan maksimum diperolehi.
Kejayaan formula itu mula membuka mata gabungan parti-parti politik yang ada bagi membentuk pakatan ampuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak lama lagi.
Tidak terkecuali di Perak apabila sudah ada gabungan mula membuat perhitungan sama ada mereka mampu membentuk kerajaan bersama selepas pilihan raya nanti.
Perikatan Nasional (PN) antara yang terawal mencongak peluang kemenangan jika mereka bergabung dengan Barisan Nasional (BN) seperti mana analisis dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan Konvensyen Pas Perak baru-baru ini.
Begitu juga DAP yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) mempunyai impian mencetuskan gelombang merah di Perak seperti dihasratkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.
Cuma yang pasti, pilihan kini terletak di tangan BN untuk memilih rakan kerjasama terbaik bagi membolehkan mereka terus relevan dan kekal mentadbir kerajaan negeri.
Persoalan mengenai gabungan politik yang paling menguntungkan BN di Perak ini menarik perhatian apabila keputusan PRU15 digunakan untuk melihat kemungkinan perubahan peta politik negeri sekiranya berlaku penyatuan undi antara parti.
Berdasarkan keputusan PRU15, BN dilihat mempunyai potensi besar meningkatkan penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun kesannya berbeza mengikut bentuk kerjasama yang berlaku.
Dalam simulasi gabungan PH-BN, analisis menunjukkan BN berpotensi memperoleh sekurang-kurangnya 13 kerusi DUN tambahan berbanding hanya sembilan kerusi dimenangi ketika ini iaitu Kota Tampan, Temengor, Lintang, Pengkalan Baharu, Belanja, Chenderiang, Ayer Kuning, Rungkup dan Behrang.
Antara kerusi dikenal pasti berpotensi berpihak kepada BN ialah Pengkalan Hulu, Kenering, Alor Pongsu, Selinsing, Changkat Jering, Trong, Chenderoh, Lubok Merbau, Bukit Chandan, Manong, Bota, Pangkor dan Slim yang kini disandang PN.
Menerusi gabungan sama, PH pula berpotensi menambah sekurang-kurangnya lapan kerusi selain 26 kerusi sedia ada. Ini berlaku kerana di banyak kawasan, kemenangan PN pada PRU15 dipengaruhi oleh perpecahan undi antara PH dan BN.
Berdasarkan data pengundian sama, corak penguasaan dominan juga dapat dilihat menerusi gabungan PN-BN apabila mereka diramal menguasai 41 daripada 59 kerusi DUN berbanding 18 kerusi untuk PH.
Seperti diramal Ahmad Samsuri, PH akan kehilangan sekurang-kurangnya enam kerusi kepada gelombang biru namun pemilik kerusi itu belum dapat ditentukan.
Angka tersebut menunjukkan BN mempunyai kekuatan elektoral yang signifikan untuk menjadi komponen penting dalam mana-mana formula kerjasama politik di Perak.
Namun, angka besar itu tidak semestinya bermaksud semua kerusi boleh dimenangi dengan mudah.
Dalam konteks politik Perak, persoalannya bukan sekadar gabungan mana mampu menambah kerusi, tetapi gabungan mana yang paling mampu mengekalkan undi sedia ada BN sambil menarik undi rakan politik tanpa menyebabkan sebahagian penyokong beralih arah.
Atas kertas, PN-BN menawarkan blok undi terbesar namun bagi BN, keputusan sebenar mungkin bergantung kepada kemampuan parti mengekalkan identiti dan sokongan tradisinya selain strategi pembahagian kerusi dan penerimaan akar umbi terhadap mana-mana bentuk kerjasama.
Masa depan hala tuju gabungan ini akan ditentukan oleh kebijaksanaan pemimpin mereka berunding dan mencapai situasi menang-menang atau membuat keputusan berisiko dengan bergerak solo.
Dengan itu, angka PRU15 memberikan satu petunjuk jelas iaitu BN mempunyai nilai tawar politik yang besar di Perak dan hala tuju kerjasama parti itu berpotensi menjadi antara faktor utama yang menentukan siapa mampu menguasai lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang.
*Saifullah Ahmad ialah Ketua Biro Sinar Harian Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

