'Adakah Kor Ming sindir Nie Ching, Anthony Loke?' - Pemuda MCA

IPOH – Pemuda MCA menyifatkan perbandingan yang dibuat Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming di antara Perak dengan Johor dan Negeri Sembilan seolah-olah sindiran terhadap kepimpinan DAP di kedua-dua negeri berkenaan.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, perbandingan itu dibuat Pengerusi DAP Perak berkenaan ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Perdana Ulang Tahun ke-60 DAP di Buntong di sini pada Ahad.
"Kenyataan Nga (Kor Ming) ini mencetuskan tanda tanya, adakah beliau menyindir Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke (sebelum letak jawatan) merangkap Setiausaha Agung DAP atas kekalahan mereka di Johor dan Negeri Sembilan?
"Setiap pemimpin berhak bersikap optimis, dan mungkin Nga Kor Ming juga yakin bahawa DAP Perak lebih baik daripada DAP di Johor dan Negeri Sembilan. Namun suka atau tidak, realiti membuktikan bahawa rakyat semakin menolak DAP," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Choo Seong berkata, bagaimanapun situasi semasa menunjukkan sokongan rakyat terhadap DAP di beberapa negeri mencatatkan keputusan yang kurang memberangsangkan.
Menurutnya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, DAP bertanding di lapan kerusi tetapi gagal memenangi mana-mana kerusi manakala di Johor, parti itu hanya memenangi enam daripada 17 kerusi yang ditandingi.
"Di Negeri Sembilan pula, DAP menang sembilan daripada 11 kerusi, namun dua kerusi yang kalah itu membabitkan kawasan ditandingi Anthony Loke dan Exco Negeri Sembilan, S Veerapan.
"Memang benar Perak bukan Johor mahupun Negeri Sembilan. Namun, saya yakin rakyat Perak juga pandai menilai apa yang diperkatakan serta apa yang telah dilaksanakan oleh Nga Kor Ming dan DAP sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018," katanya.
Dalam pada itu, Choo Seong pada masa sama mengakui MCA masih belum kembali memperoleh sokongan penuh khususnya daripada masyarakat Cina.
Katanya, parti itu melakukan muhasabah dan terus bekerja keras bagi mendapatkan semula kepercayaan pengundi.
"Yang paling penting, MCA tidak sesekali tergamak memainkan politik fitnah dan hasutan perkauman semata-mata mahu mendapatkan undi.
"Apa guna mendapat kuasa dengan cara menggadaikan perpaduan masyarakat majmuk dan menyebabkan negara tidak stabil?" katanya.
Pada Isnin media melaporkan DAP Perak yakin ‘Gelombang Merah’ akan bangkit di Perak sebagai manifestasi sokongan rakyat terhadap perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan perpaduan, kestabilan dan tadbir urus baik.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dalam ucapannya berkata, Perak mempunyai keunikan tersendiri kerana masyarakat pelbagai kaum di negeri ini mampu berdiri sebagai satu keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

