Perak sudah ikrar, BN-PH terus berfungsi hingga DUN bubar - Saarani

IPOH - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Perak akan terus berfungsi sebagai Kerajaan Perpaduan sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komitmen itu dipersetujui bersama barisan Exco negeri bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Semalam (Rabu) sebelum mesyuarat Exco, saya duduk bersama Exco-Exco dan bertanya secara terus terang sama ada apa yang berlaku di Melaka akan berlaku di Perak.
“Setakat ini, tidak berlaku. Kita berikrar bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan ini, sehingga pembubaran DUN, kita akan terus berfungsi dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan DAP Melaka yang mengumumkan keluar daripada pentadbiran Kerajaan Melaka dan melepaskan semua jawatan yang disandang dalam kerajaan negeri, termasuk jawatan EXCO.
Media melaporkan, tindakan itu menyusul selepas DUN Melaka meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk menambah tujuh ADUN lantikan.
Saarani yang juga Pengerusi BN Perak, menegaskan, walaupun terdapat perbezaan pandangan antara parti di negeri ini, kerajaan Perak masih mampu bekerjasama dengan baik demi kepentingan rakyat.
"Ada orang suara kuat, ada orang suara perlahan. Ada orang suara kuat, tetapi hatinya baik. Jadi, pelbagai pendekatan dalam politik ini adalah perkara biasa," katanya.
Dalam pada itu, Saarani turut mengingatkan semua pihak agar tidak membawa perbezaan politik ke tahap yang boleh menjejaskan hubungan sesama manusia.
Jelasnya, setiap pihak perlu menjaga tutur kata agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak demi mengekalkan keharmonian dalam kerjasama politik sedia ada.
“Ini politik. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam politik tiada musuh atau sahabat yang kekal.
“Tetapi seeloknya kita janganlah saling luka-melukai antara satu sama lain. Berbeza pendapat dan pandangan itu baik, tetapi jangan sampai mengutuk, mencerca atau memutuskan silaturahim,” katanya.
Pada Tahun 2022, BN Perak bersetuju menjalinkan kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri baharu dengan gabungan majoriti mudah 33 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.
Ia berikutan Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan PH berjaya menenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

