Bawa momentum Glasgow ke Aichi-Nagoya

Kontinjen negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa. Foto Bernama
Kontinjen negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN kontinjen negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scotland baru-baru ini tidak seharusnya dilihat sebagai penutup manis sebuah temasya.

Sebaliknya, lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa yang diraih daripada kontinjen kecil perlu menjadi pembakar semangat menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Hakikatnya, cabaran di pentas Asia jauh lebih getir kerana kuasa besar seperti China, Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan dan Uzbekistan memiliki kedalaman atlet serta program pembangunan yang jauh mengatasi kebanyakan negara lain.

Justeru, pencapaian di Glasgow tidak boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap peluang di Aichi-Nagoya.

Malah, landskap pertandingan juga berbeza. Glasgow hanya mempertandingkan 10 jenis sukan, manakala Aichi-Nagoya menawarkan lebih 40 sukan termasuk badminton, hoki, memanah, berbasikal, sepak takraw, wushu, karate, silat serta beberapa acara baharu seperti seni bela diri campuran (MMA), padel dan teqball.

Namun, ada hikmah yang boleh dibawa pulang dari Glasgow. Kejayaan itu membuktikan atlet negara mampu menyerlah apabila tiba di kemuncak prestasi pada waktu yang tepat.

Disiplin, persiapan rapi dan keberanian bersaing dengan lawan lebih tinggi ranking menjadi resipi utama kejayaan.

Kini, cabaran sebenar adalah mengekalkan momentum tersebut. Atlet yang pulang dengan keyakinan tinggi perlu segera mengalihkan fokus kepada persiapan menghadapi saingan Asia yang lebih sengit.

Pada masa sama, persatuan sukan dan Institut Sukan Negara (ISN) perlu memastikan segala aspek sokongan, termasuk sains sukan, pemulihan serta pendedahan pertandingan berada pada tahap terbaik.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, Glasgow telah membuktikan bahawa saiz kontinjen bukan penentu kejayaan. Kini tiba masanya Malaysia membuktikan bahawa kejayaan itu bukan sekadar kilauan sementara, sebaliknya petanda kebangkitan yang mampu diterjemahkan di Aichi-Nagoya.

Jika momentum itu berjaya dikekalkan, tidak mustahil kontinjen negara mampu melakar lebih banyak kejutan di bumi Jepun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!