AI bukan ancaman, pekerja perlu tingkat kemahiran - KESUMA

Khairul Akhbar Firdaus Khan
Khairul Akhbar Firdaus Khan
A
A
A

KUANTAN - Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak bermakna pekerja bakal kehilangan pekerjaan, sebaliknya mereka perlu bersedia meningkatkan kemahiran bagi menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan berkata, perkembangan AI sememangnya membawa perubahan kepada sebahagian bidang pekerjaan, namun pada masa sama membuka peluang kepada kemunculan industri baharu yang memerlukan tenaga kerja dengan kemahiran berbeza.

Menurut beliau, kerajaan tidak melihat AI sebagai ancaman besar kerana pelbagai inisiatif latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) telah disediakan bagi membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

"Apabila wujudnya AI, akan wujud industri baharu ataupun industri sampingan dan industri ini memerlukan latihan serta pendedahan.

"Yang penting, sokongan sistem itu kita wujudkan dan kita tidak melihat perkara ini sebagai satu ancaman besar kerana ada peralihan kepada kemahiran lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini pada Ahad.

Karnival berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Sim Chon Siang; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; serta Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal.

Khairul Akhbar berkata, KESUMA melalui TalentCorp, HRD Corp dan PERKESO mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan latihan berkaitan AI serta kemahiran baharu yang diperlukan industri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, AI bukan hanya tertumpu kepada automasi, malah penggunaannya semakin meluas merentasi pelbagai sektor termasuk pertanian, perubatan dan perniagaan.

"AI ini sebenarnya mempunyai skop yang luas, bukan setakat dalam bidang automasi sahaja. Ia meliputi pelbagai bidang.

"Sebab itu TalentCorp mengambil inisiatif melaksanakan program Jelajah AI Mahir supaya masyarakat memahami permintaan industri berkaitan teknologi ini," katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi mengelakkan berlakunya ketidakpadanan kemahiran antara tenaga kerja dengan keperluan majikan.

Mengulas kebimbangan bahawa AI akan menggantikan pekerjaan tertentu, beliau berkata, masih terlalu awal untuk menentukan kesan sebenar teknologi berkenaan terhadap pasaran pekerjaan negara.

"Kita tidak boleh mengatakan dengan jelas sama ada AI akan mematikan sesuatu sektor atau industri.

"Di Malaysia, AI masih berada pada peringkat awal dan kita perlu melihat secara lebih holistik sama ada kesan itu benar-benar berlaku atau dapat diminimumkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!