UUM naik taraf studio rakaman, latih pelajar SMK Pedu kuasai kemahiran media digital

Pelajar SMK Pedu Kuala Nerang bersama E-Idaman bergotong-royong melaksanakan usaha kitar semula.
Pelajar SMK Pedu Kuala Nerang bersama E-Idaman bergotong-royong melaksanakan usaha kitar semula.
A
A
A

KUALA NERANG – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat (JKK) melaksanakan Program Jalinan Mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedu di sini pada Khamis bagi menaik taraf studio rakaman sekolah serta memperkasakan kemahiran komunikasi dan media digital dalam kalangan pelajar.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menghimpunkan warga UUM, pihak sekolah dan rakan strategik, E-Idaman Sdn Bhd dalam aktiviti gotong-royong menceriakan persekitaran sekolah, termasuk mengecat semula studio rakaman yang bakal dimanfaatkan sebagai platform pembangunan bakat pelajar dalam bidang penyiaran, komunikasi dan penghasilan kandungan kreatif.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Bakhari Che Mohamed Ariff berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memindahkan ilmu, kemahiran dan kepakaran kepada masyarakat, khususnya komuniti luar bandar.

Menurutnya, kehadiran UUM ke SMK Pedu bukan sekadar lawatan rasmi, sebaliknya manifestasi tanggungjawab institusi pengajian tinggi untuk bersama-sama membangunkan masyarakat melalui pendidikan dan pemerkasaan komuniti.

"UUM bukan sekadar sebuah institusi yang melahirkan graduan berkualiti, malah turut berperanan sebagai rakan komuniti yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, membimbing dan memperkasakan masyarakat.

"Program ini bukan sekadar mencantikkan kemudahan fizikal sekolah, tetapi lebih penting membuka ruang kepada pelajar meneroka potensi diri melalui kemahiran yang mampu meningkatkan keyakinan dan daya saing mereka pada masa hadapan," katanya ketika merasmikan Program Jalinan Mesra Jabatan Komunikasi Korporat UUM di SMK Pedu.

Bakhari merasmikan Program Jalinan Mesra JKK di SMK Pedu, Kuala Nerang, Kedah
Bakhari merasmikan Program Jalinan Mesra JKK di SMK Pedu, Kuala Nerang, Kedah

Beliau berkata, pendekatan program itu selari dengan konsep 'learning by doing' yang diperkenalkan tokoh pendidikan, John Dewey, yang menekankan pembelajaran melalui pengalaman dan amali sebagai kaedah paling berkesan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, para pelajar mengikuti beberapa bengkel kemahiran media yang dikendalikan pegawai JKK UUM, termasuk Bengkel Canva bagi menghasilkan reka bentuk grafik kreatif, Bengkel Fotografi untuk meningkatkan kemahiran visual serta Bengkel Penulisan Berita yang memberi pendedahan kepada teknik penulisan, komunikasi dan penyampaian maklumat secara beretika.

Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya studio rakaman yang dinaik taraf sebagai ruang untuk berkarya, mengembangkan kreativiti serta membina keyakinan dalam menyampaikan idea kepada masyarakat.

Dalam masa sama, Bakhari merakamkan penghargaan kepada pengurusan SMK Pedu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), E-Idaman Sdn Bhd serta semua warga kerja dan sukarelawan yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.

Katanya, kerjasama yang terjalin diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan komuniti pada masa depan, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara universiti, sekolah dan industri dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.

Pelajar SMK Pedu sedang mendengar taklimat program CSR Jabatan Komunikasi Korporat UUM yang diadakan di sekolah itu.
Pelajar SMK Pedu sedang mendengar taklimat program CSR Jabatan Komunikasi Korporat UUM yang diadakan di sekolah itu.

Sementara itu, Pengetua SMK Pedu, Nasriah Abu Bakar menyifatkan program berkenaan sebagai inisiatif yang memberi impak besar kepada pembangunan pelajar dan sekolah.

Menurutnya, sumbangan UUM bukan sahaja berjaya menceriakan kemudahan sekolah melalui naik taraf studio rakaman, malah memberi peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan dalam bidang komunikasi, fotografi, reka bentuk grafik dan penulisan berita.

"Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan demi manfaat warga sekolah dan komuniti," katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Empat, Nur Affrina Ahmad Muzznizary, penyertaan dalam Bengkel Penulisan Berita membuka peluang untuk memahami teknik penulisan yang betul sebelum menghasilkan kandungan bagi media sosial atau berita sekolah.

"Banyak ilmu yang saya pelajari kerana sebelum ini saya hanya menulis tanpa mengetahui asas penulisan berita.

"Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat diadakan pada masa hadapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!