Penduduk lega bonggol dibina, kurang risiko kemalangan

Bonggol yang dibina berjaya mengurangkan kelajuan kenderaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan berhampiran kawasan perumahan.
Bonggol yang dibina berjaya mengurangkan kelajuan kenderaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan berhampiran kawasan perumahan.
A
A
A

IPOH - Penduduk dan pengguna jalan Lebuh Chepor Utama 2 berhampiran Taman Meru Perdana 2 menarik nafas lega apabila risiko kemalangan dapat dikurangkan melalui pembinaan dua bonggol di laluan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff berkata, usaha mendapatkan kemudahan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana pelbagai permohonan dan surat susulan telah dihantar kepada pihak berkaitan sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, kemuncak usaha tersebut berlaku tahun lalu apabila salinan surat permohonan turut dihantar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan kementerian berkaitan sebelum peruntukan diluluskan.

"Kami mula memohon pembinaan bonggol pada 2023 dan hampir setiap tahun menghantar surat kepada MBI (Majlis Bandaraya Ipoh) serta pemimpin setempat. Akhirnya permohonan ini diluluskan dan bonggol berjaya dibina.

"Penduduk memang teruja dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi. Paling penting, keselamatan penduduk kini lebih terjamin kerana sebelum ini kenderaan sering dipandu laju di kawasan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Nazri berkata, pembinaan bonggol itu memberi manfaat kepada lebih 400 keluarga di Taman Meru Perdana 2, selain turut digunakan penduduk dari taman berhampiran seperti Taman Chepor Idaman dan kawasan sekitar yang dianggarkan melibatkan lebih 1,400 rumah.

Katanya, walaupun terdapat pengguna jalan raya yang mungkin kurang selesa dengan kewujudan bonggol, aspek keselamatan penduduk setempat dan pengguna laluan tersebut perlu diberi keutamaan.

Hafez (kanan) berbincang sesuatu bersama wakil penduduk selepas melihat kerja-kerja pemasangan papan tanda bonggol yang dibina di Lebuh Chepor Utama 2 di sini.
Hafez (kanan) berbincang sesuatu bersama wakil penduduk selepas melihat kerja-kerja pemasangan papan tanda bonggol yang dibina di Lebuh Chepor Utama 2 di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ADUN Manjoi, Hafez Sabri berkata, kejayaan menyelesaikan isu berkenaan hasil kerjasama erat antara persatuan penduduk, pihaknya, MBI dan pemaju, MK Land.

Menurutnya, suara serta kesepakatan penduduk menjadi faktor utama yang membolehkan isu tersebut diberi perhatian sehingga berjaya diselesaikan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Meru Perdana 2 kerana bersatu menyuarakan isu ini. Sebagai wakil rakyat, saya tidak boleh berdiam diri kerana ia membabitkan keselamatan rakyat.

"Isu ini saya bawa ke pelbagai peringkat termasuk Mesyuarat Tindakan Daerah, MBI dan Sidang Dewan Undangan Negeri sehingga akhirnya bonggol berjaya dibina. Saya yakin kemudahan ini mampu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini di kawasan ini," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBI, MK Land dan semua pihak yang memainkan peranan dalam merealisasikan pembinaan bonggol tersebut demi keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Sinar Harian pada 22 September 2023, pernah melaporkan kebimbangan penduduk di Taman Meru Perdana 2 dan Taman Chepor Idaman di sini yang berdepan risiko kemalangan apabila pintas menghubungkan Meru Raya dengan Klebang yang baharu dibuka tidak dilengkapi dengan kemudahan keselamatan sempurna.

Sejak laluan tersebut dibuka jumlah kenderaan kian bertambah malah ada yang memandu laju disebabkan ketiadaan papan tanda amaran serta bonggol yang diletakkan di tempat strategik.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!