Covid-19: Jumlah pulih melebihi 50 peratus keseluruhan kes

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Buat sekian kalinya, kes baharu positif koronavirus (Covid-19) yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah angka 100 iaitu 85 kes.

Selain itu, peratusan kes yang didiscaj juga melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah kemajuan memberangsangkan hasil daripada dua fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan.

"Setelah hampir sebulan pelaksanaan PKP fasa pertama dan kedua ini, kita dapat melihat trend jumlah kes baharu Covid-19 sedikit terkawal tanpa kenaikan yang mendadak.

"Manakala jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Untuk rekod, kali terakhir negara catat kes kematian di bawah 100 adalah pada 14 Mac iaitu 41 orang.

Dalam pada itu, menurutnya, jumlah kumulatif positif Covid-19 adalah 5,072 kes.

"Daripada jumlah itu, hanya 2,342 kes aktif dan pesakit telah diasingkan untuk rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seramai 56 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 32 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan merekodkan pertambahan satu kematian sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 83 kes iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Ia melibatkan pesakit ke 4,988 yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Dia meninggal dunia pada jam 6.41 pagi tadi," katanya.