JKN Perlis terima 1,000 naskhah al-Quran

kakitangan JKN Perlis memegang plakad Wakaf al-Quran sebagai tanda sokongan kepada Program Wakaf al-Quran Mu'jam di sini hari ini.
kakitangan JKN Perlis memegang plakad Wakaf al-Quran sebagai tanda sokongan kepada Program Wakaf al-Quran Mu'jam di sini hari ini.
A
A
A

KANGAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menerima 1,000 naskhah al- Quran daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) hasil sumbangan pelbagai pihak sempena Program Wakaf al-Quran Mu'jam di sini hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh wakil Rumah Ngaji negeri Kedah, Saloni Mustaffa kepada Pengarah JKN Perlis Dr. Sirajuddin Hashim, Pengarah Hospital Tuanku Fauziah Dr Othman Warijo serta Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis yang mewakili fasiliti kesihatan negeri Perlis.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), Azmi Abdul Latip berkata, beliau mewakili JKN merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan berkenaan.

Katanya, semua al-Quran yang diterima itu akan diagihkan kepada Kompleks JKN Perlis (100 naskhah), Hospital Tuanku Fauziah (300 naskhah), Pejabat Kesihatan Daerah Kangar (480 naskhah), Bahagian Kesihatan Pergigian (100 naskhah) dan Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan (20 naskhah).

Saloni (kiri) menyampaikan senaskhah al-Quran kepada Dr Sirajuddin sebagai gimik penyerahan al-Quran di JKN Perlis di sini hari ini.
Saloni (kiri) menyampaikan senaskhah al-Quran kepada Dr Sirajuddin sebagai gimik penyerahan al-Quran di JKN Perlis di sini hari ini.

"Insya-ALLAH al-Quran ini akan memberi manfaat kepada lebih 3,500 kakitangan kita dalam memberikan peningkatan motivasi kepada mereka terutama dari aspek kerohanian, spiritual dan emosi.

"Apatah lagi mereka kini sedang berjuang dalam menangani wabak Koronavirus (Covid-19) jadi mereka memerlukan sokongan yang kuat untuk menghadapinya," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, sumbangan itu juga akan dimanfaatkan oleh seluruh pesakit yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Norazlina Omar (kanan) bersama Penolong Pegawai Tadbir bahagian Pengurusan, Naimah Yunus meluangkan masa membaca al-Quran di bangunan JKN Perlis di sini hari ini.

"Ia selari dengan hasrat untuk merealisasikan konsep hospital mesra ibadah yang mana fokus kita bukan sahaja pesakit yang mendapatkan rawatan akan kembali sihat, sebaliknya mental dan spiritual mereka juga akan bertambah baik," katanya.

Tambahnya, beliau berharap semoga usaha murni dari pihak WUIF ini akan mendapat ganjaran sewajarnya dari ALLAH SWT dan mampu menjadi pendorong kepada lebih banyak usaha sebegini di masa akan datang.

"Untuk makluman pihak jabatan juga sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan bagi tujuan meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini," katanya.