Bilik Gerakan MKN Johor terima 1,336 aduan

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di negeri ini menerima sebanyak 1,336 aduan daripada orang awam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak fasa satu hingga kini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, aduan tersebut melibatkan isu semasa dan dasar-dasar yang dikeluarkan Kementerian berkaitan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20.9 peratus aduan adalah melibatkan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat perkembangan positif yang terhasil daripada usaha kerajaan dan pematuhan masyarakat terhadap PKP dalam mengekang penularan koronavirus (Covid-19) di Johor.

Jelasnya, beberapa mukim yang sebelum ini mempunyai kes Covid-19 kini tidak lagi merekodkan kes baharu antaranya di Mukim Pengkalan Raja/Jeram Batu, Mukim Benut dan Mukim Rimba Terjun di Pontian; Mukim Jelutong dan Mukim Tanjung Kupang di Johor Bahru; Mukim Peserai di Batu Pahat; Mukim Padang Endau di Mersing dan Mukim Macap di Kluang.

"Kerajaan negeri berharap supaya akan lebih banyak lagi mukim-mukim tidak mencatatkan kes-kes baharu dari semasa ke semasa," ujarnya.

Berhubung isu melibatkan pengurusan mayat bukan Islam yang positif Covid-19 di negeri ini, beliau berkata, pengurusannya perlu dipantau Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran termasuk di mortuari, tanah perkuburan dan krematorium.

Justeru, katanya, pengurus mayat tidak perlu bimbang kerana pengurusan akan dipantau pegawai yang akan memastikan keselamatan mereka yang menguruskan serta ahli keluarga yang hadir.

Artikel Berkaitan:

Bagi pengurusan jenazah yang tidak berkaitan dengan kes Covid-19, beliau berkata, pengurusannya perlu mengambil kira peraturan berkaitan dengan perhimpunan dan bilangan yang terlibat mesti dalam kumpulan yang kecil tidak lebih 10 orang.

"Ini hanya melibatkan ketua keluarga, ahli keluarga terdekat dan ketua acara keagamaan.

Sebarang upacara pengebumian, pembakaran dan membuang abu mayat ke pergigian sungai adalah dibenarkan, namun hanya melibatkan keluarga terdekat," katanya.