Lakukan pembenihan awan segera: PBAPP

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memohon agar Jabatan Meteorologi segera melaksanakan pembenihan awan bagi mencetuskan lebih banyak hujan di Pulau Pinang dan Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, tindakan itu perlu dilakukan berikutan kapasiti efektif enam empangan utama di Pulau Pinang dan Kedah adalah rendah berikutan cuaca kering luar biasa sejak pertengahan 2019.

Beliau berkata, paras air Sungai Muda semalam turun kepada 1.29 meter iaitu di bawah paras kritikal 1.5 meter yang mana paras normal Sungai Muda perlu melebihi 2.0 meter.

"Menurut Jabatan Meteorologi, kita kini berada di dalam musim peralihan monsun dan hujan dijangka berlaku. Bagaimanapun, Pulau Pinang memohon pembenihan awan disegerakan untuk mengurangkan risiko kurangnya hujan.

"Dengan kehadiran awan hujan sekarang, ia adalah baik untuk menjalankan pembenihan awan bagi mencetus hujan sebanyak mungkin kerana potensi kejayaan agak tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jaseni berkata, seramai 3.95 juta orang yang tinggal di Pulau Pinang dan Kedah memerlukan bekalan air yang berterusan setiap hari untuk mengamalkan kebersihan diri yang baik.

Katanya, beberapa tempat berlaku masalah tiada bekalan air dalam tempoh tertentu selain pihaknya menerima beberapa aduan mengenai tekanan air rendah atau daripada pengguna dalam beberapa hari yang lalu.

"Aduan ini berkaitan dengan isu bekalan air yang dihadapi oleh beberapa penduduk di Pokok Ceri, Hye Keat Estate (Air Itam), Flat 420 Taman Bukit Bendera, Kampung Paya Terubong, Kampung Gertak Sanggul dan Mount Erskine (belakang Lorong Air Terjun).

Artikel Berkaitan:

"Kawasan yang terkesan ini secara amnya diklasifikasikan sebagai kawasan tanah tinggi atau kawasan hujung saluran paip. Apabila penggunaan air terlalu tinggi, kawasan ini akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Jaseni berkata, PBAPP telah menghantar lori tangki air ke kawasan yang terjejas.

Beliau memohon maaf kepada semua pengguna yang mengalami masalah bekalan air dan memberi jaminan akan menyelesaikan permasalahan yang berlaku sebaik mungkin.