BN-PN bertahan lama atau sekadar 'kahwin kontrak'

PERSEFAHAMAN antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang diterjemahkan menerusi pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat memberi gambaran baharu landskap politik negara.
Kerjasama yang suatu ketika dahulu dianggap sukar direalisasikan, kini dilihat sebagai strategi ampuh untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri sekali gus memaksimumkan peluang menewaskan lawan.
Namun di sebalik itu, timbul persoalan sama ada kerjasama berkenaan mampu bertahan lama selepas pilihan raya atau sekadar kesepakatan sementara yang didorong oleh keperluan politik semasa yang diistilahkan sebagai 'kahwin kontrak'.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, secara asasnya kerjasama BN–PN bukan lahir daripada keserasian ideologi, sebaliknya didorong oleh keperluan politik semata-mata.
"Objektif utamanya adalah untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang terbukti sering memecahkan undi Melayu dan memberi kelebihan kepada pihak lawan.
"Ini strategi pilihan raya yang rasional, tetapi hakikatnya strategi tidak semestinya melahirkan kepercayaan. Persefahaman antara BN dan PN ini ibarat musuh yang sama melahirkan kerjasama sementara," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ahmad Zaharuddin Sani, kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerjasama antara gabungan terbabit tidak akan bertahan lama tidak boleh diketepikan.
"Kenyataan itu jauh lebih signifikan kerana membuka semula persoalan paling asas dalam politik Malaysia iaitu sama ada gabungan politik hari ini dibina atas prinsip perjuangan atau sekadar berdasarkan matematik kuasa.
"Politik mempunyai satu hukum yang sukar dinafikan, iaitu selagi dua parti berbeza terus wujud, selagi itulah persaingan akan terus hidup.
"Tiada parti politik ditubuhkan semata-mata untuk kekal menjadi 'junior' selama-lamanya kerana setiap parti akhirnya mahu muncul sebagai peneraju," ujar beliau.
Katanya, seperti semua sedia maklum, Pas merupakan kuasa dominan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala UMNO pula sedang berusaha mengembalikan statusnya sebagai sebuah parti terbesar orang Melayu selepas kehilangan dominasi sejak PRU14.
Beliau berkata, kedua-duanya menyasarkan kelompok pengundi yang hampir sama, menawarkan naratif Melayu-Islam yang hampir serupa dan bersaing untuk ruang politik yang sama.
"Jadi di sinilah percanggahan sebenar semula. Pas pernah menyertai BN pada tahun 1974, namun hubungan itu berakhir dengan krisis politik di Kelantan.
"Begitu juga dengan Muafakat Nasional yang dianggap sebagai penyatuan terbesar politik Melayu pada 2019 juga akhirnya retak apabila Bersatu membentuk PN," katanya.
Namun hari ini, jelas beliau, gabungan yang pernah dianggap mustahil kini kembali dibincangkan, manakala gabungan yang pernah dianggap kukuh pula mula menunjukkan keretakan.
"Lebih ironi lagi, PN yang pada awalnya ditubuhkan atas nama perpaduan akhirnya turut bergelut dengan persaingan dalaman.
"Dalam sains politik, keadaan itu dikenali sebagai paradoks koalisi, iaitu parti-parti bekerjasama untuk memenangi kuasa, tetapi apabila kuasa semakin hampir, mereka mula bersaing sesama sendiri bagi menentukan siapa yang paling dominan.
"Musuh luar berjaya disatukan, namun musuh sebenar akhirnya muncul dari dalam gabungan sendiri," katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan yang lebih besar, iaitu mengenai keikhlasan kerjasama politik yang terjalin kerana jika ukuran politik berubah mengikut musim pilihan raya, di manakah letaknya prinsip?
Menurutnya, demokrasi sememangnya menuntut kompromi, namun kompromi tidak seharusnya menghapuskan prinsip.
"Politik yang sihat ialah politik yang membenarkan kerjasama tanpa mengorbankan integriti.
"Sebaliknya, politik yang hanya berkiblatkan kuasa akan sentiasa melahirkan kitaran yang sama iaitu musuh menjadi kawan, kawan menjadi musuh, kemudian kembali menjadi kawan apabila keadaan memerlukan," katanya.
Kejutan
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata, keputusan PRN 1 Ogos ini menjadi kayu ukur kepada hubungan jangka panjang BN-PN.
Beliau berkata, sekiranya gabungan itu mampu mencipta kejutan di Negeri Sembilan, kedua-dua pihak akan melihat potensi untuk memperkukuhkan kerjasama pada masa depan sekali gus membawa kepada matlamat ke Putrajaya.
"Tapi jika keputusan tidak memenuhi jangkaan, hubungan yang baru terjalin ini kemungkinan akan dinilai semula.
"Semestinya BN mengharapkan kerusi yang mampu dimenangi mereka hasil kerjasama dengan PN ini lebih banyak, berbanding ketika bersama dengan PH menghadapi pilihan raya lalu," ujar beliau.
Bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata, persefahaman antara gabungan itu di Negeri Sembilan adalah lebih jelas dan tersusun, berbanding di Johor.
"Di Johor mereka tidak bergabung secara rasmi, tetapi terdapat arahan tidak langsung supaya penyokong PN memberikan undi kepada BN dan akhirnya parti itu memperoleh kemenangan besar.
"Di Negeri Sembilan pula, persefahaman itu lebih jelas apabila kerusi diagihkan antara kedua-dua pihak, malah kempen turut dijalankan secara bersama yang menunjukkan hubungan mereka sudah bergerak selangkah ke hadapan," katanya.
Mengulas landskap politik negara pula, beliau berkata, politik Malaysia kini semakin cenderung kepada pembentukan gabungan kerana sukar bagi sesebuah parti memperoleh majoriti secara bersendirian.
Jelasnya, senario Parlimen tergantung selepas PRU15 juga telah membuktikan bahawa kerjasama antara parti menjadi faktor penting dalam pembentukan sesebuah negara.
"Hakikatnya senario parti politik bergabung bagi membentuk kerajaan ini sudah menjadi perkara biasa, begitu juga konsep 'kahwin-cerai' antara parti kerana sokongan itu berubah-ubah.
"Tapi kerjasama lebih awal itu adalah lebih baik kerana dapat mengukuhkan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya, berbanding membuat keputusan bergabung selepas itu," katanya.
Beliau berkata, ini kerana agak sukar bagi sesebuah parti membentuk kerajaan secara bersendirian kerana gagal memperoleh majoriti yang mencukupi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

