PRN Negeri Sembilan: 'BN-PN tak bergaduh, beza pendapat pun tidak' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (duduk di tengah) ketika bercakap kepada pemberita selepas Program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di Seremban pada Isnin.
Ahmad Zahid (duduk di tengah) ketika bercakap kepada pemberita selepas Program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Barisan Nasional(BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan berlaku pergaduhan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan persefahaman antara gabungan itu tidak dapat direalisasikan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara kedua-dua gabungan itu yang membuatkan mereka tidak dapat bergerak seiring.

"Saya ingin nyatakan bahawa tidak ada sebarang pergaduhan, perbezaan pendapat,  kami bergerak seiring atas nama kesefahaman.

"Kenyataan yang dibuat oleh seorang Menteri Besar itu adalah kenyataan yang saya telah sanggah disebabkan tidak sesuai disebutkan. Itu bukannya satu pergaduhan tapi hanya pandangan kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di sini pada Isnin.

Ini kerana beliau berpendapat, geopolitik di sesebuah negeri itu adalah berbeza dan kenyataan tersebut tidak sesuai dikeluarkan di Negeri Sembilan.

"Geopolitik di sesebuah negeri itu berbeza dengan sebuah negeri lain. Mungkin apa yang dikeluarkan itu sesuai untuk negerinya tapi tidak sesuai di Negeri Sembilan.

"Tapi ini bukan satu pergaduhan, tetapi satu yang pada hemat saya tidak seharusnya berlaku,“ katanya.  

Tanpa menyebut sebarang nama, kenyataan Ahmad Zahid  terbabit dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan ucapan Muhammad Sanusi  dalam ceramah di Jempol baru-baru ini yang didakwa menyentuh mengenai sejarah Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu yang dikatakan semakin terhakis dari aspek ekonomi serta politik.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan berkenaan menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong yang mendakwa kenyataan tersebut berbaur perkauman dan bersifat hasutan.

Selain itu Ahmad Zahid menegaskan bahawa BN sentiasa menghormati Institusi Diraja Negeri Sembilan termasuk Undang Yang Empat.

"Alhamdulillah kempen-kempen yang kita jalankan  tidak menyentuh perkara itu. 

"Mungkin ada pihak lain yang menyentuh sebab kami berpegang bahawa Institusi Raja-Raja mesti dipertahankan, begitu juga institusi Undang Yang Empat dalam konteks di Negeri Sembilan.

"Untuk itu, saya ingin ingatkan mana-mana pihak supaya tidak  menyentuh mengenai perkara itu,"katanya.

Istana Negeri Sembilan menegaskan sebarang dakwaan yang mengaitkan pihaknya dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, semua parti politik dinasihatkan tidak mengaitkan istana semasa ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!