RM33,000 lesap diperdaya polis palsu

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki kerugian RM33,000 selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis kononnya boleh membantu menyelesaikan kes dadah bapanya tanpa pertuduhan di mahkamah.

Mangsa, 26, yang bekerja di Singapura dihubungi suspek pada 8 Mac lalu memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis mendakwa mempunyai 'orang dalam' dan mampu membebaskan bapanya yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek kemudian meminta wang berkenaan dan mangsa melakukan pemindahan RM18,000 dan RM15,000 ke akaun milik penjenayah tersebut.

"Selepas pembayaran dibuat mangsa pulang dan mendapati ayahnya sudah berada di rumah. Mangsa kemudian segera menghubungi pegawai penyiasat kes itu sebelum dimaklumkan tiada pegawai penyiasat meminta wang daripada keluarga mangsa.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 8 Mac lalu. Tindakan pantas polis kemudian dapat menahan suspek pada hari yang sama di sebuah stesen minyak di Kota Tinggi dan merampas wang tunai RM15,000 dalam kereta milik suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob berkata, susulan tangkapan pertama, pihaknya berjaya menahan dua lagi suspek di Taman Pelangi pada 9 dan 10 April dipercayai terlibat dalam kes tersebut sebelum dapat merampas RM18,000 daripada salah seorang daripada mereka.

Menurut beliau, siasatan juga menemukan dua set pakaian seragam polis dengan kelengkapan polis dalam kereta suspek.

"Suspek berusia dalam lingkungan antara 28 hingga 49 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 atas kesalahan memiliki peralatan yang dibekalkan kepada polis dan penggunaan pakaian seragam polis tanpa kebenaran," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 70 individu di seluruh Johor ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jumlah tersebut menjadikan bilangan mereka yang melakukan kesalahan itu seramai 1,497 sehingga semalam.

Jumlah yang kena kompaun pula katanya, seramai 642 orang dari 8 April hingga semalam manakala 928 orang sudah didakwa di mahkamah kerana ingkar arahan PKP sejak 18 Mac lalu hingga kini.