Aktiviti kuari tular adalah sah, kerajaan negeri akan teliti semula SOP perlombongan

IPOH - Aktiviti kuari di Mukim Kampung Buaya, Kuala Kangsar yang tular baru-baru ini adalah sah dan mempunyai kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, operasi berkenaan memiliki lesen melombong yang telah diluluskan kerajaan sejak dahulu lagi.
"Dari segi perundangan, ia adalah aktiviti perlombongan yang halal, bermaksud bukan dijalankan secara haram," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-9 di Galasa Caldwell di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular memaparkan pandangan dari udara keadaan sebuah bukit yang didakwa telah ditarah bagi tujuan perlombongan.
Video yang menerima tontonan lebih 3 juta itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga net berhubung status operasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Saarani menjelaskan kaedah perlombongan yang digunakan di kawasan itu berbeza berbanding kaedah lazim di lokasi lain seperti di Simpang Pulai.
Katanya, teknik yang digunakan melibatkan kaedah tetingkat (benching) yang mana lebih selamat kerana dapat menstabilkan cerun di kawasan kerja kuari.
“Kaedah ini memang wujud dan turut digunakan di banyak negara mengikut kesesuaian bentuk muka bumi serta pelan kuari yang diluluskan," katanya.
Beliau berkata, susulan penularan video tersebut, pihaknya telahpun mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersama agensi berkaitan antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Mineral dan Geosains untuk meneliti semula kaedah yang digunakan adalah selamat serta tidak memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar.
Katanya, siasatan juga akan dijalankan oleh jabatan tersebut bagi mengesahkan kaedah perlombongan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita tidak pasti bila rakaman itu diambil, namun kerajaan negeri ambil maklum dan minta laporan kajian disediakan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

