Dokumen tular: Pas desak MB Negeri Sembilan tampil beri penjelasan pencerobohan tanah

PUTRAJAYA – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun didesak memberi penjelasan berhubung dokumen tular mengenai aduan Pencerobohan Tanah Kerajaan Yang Semakin Berleluasa yang didakwa di bawah pimpinan ADUN DAP.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan kerajaan negeri perlu menjawab dua persoalan utama secara terbuka iaitu sama ada dokumen yang tersebar itu tulen dan benar-benar berasal daripada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan serta agensi kerajaan yang dinamakan.
Menurut beliau, sekiranya dokumen itu palsu, kerajaan negeri perlu menyatakan perkara tersebut dengan tegas dan membuat laporan kepada pihak berkuasa memandangkan penggunaan kepala surat, nombor rujukan, tandatangan, cop jabatan serta nama pegawai kerajaan secara palsu merupakan perkara serius.
"Bagaimanapun jika dokumen-dokumen itu tulen, apakah hasil siasatan yang diarahkan pada Julai 2022? Rakyat berhak mengetahui sama ada satu jawatankuasa atau pasukan siasatan telah ditubuhkan, pemeriksaan tapak dilakukan, status pemilikan tanah dikenal pasti serta sama ada tindakan penguatkuasaan atau pendakwaan telah diambil," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan sama ada mana-mana struktur atau penempatan didapati dibina tanpa kebenaran, bekalan air dan elektrik diperoleh melalui prosedur yang sah, selain sama ada mana-mana pegawai kerajaan, ahli majlis, wakil rakyat atau pihak lain telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada aduan mengenai wang "settlement" atau unsur rasuah telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain tindakan penguatkuasaan, pendakwaan, pengosongan tanah atau pemulihan tanah kerajaan telah dilaksanakan.
"Rakyat juga berhak mengetahui sama ada laporan siasatan yang diarahkan itu telah disiapkan serta dikemukakan kepada Menteri Besar.
"Jika siasatan mendapati dakwaan tersebut tidak berasas, hasil itu juga wajar diumumkan bagi membersihkan nama individu dan institusi yang dikaitkan.
"Sebaliknya, jika terdapat asas kepada mana-mana dakwaan, tindakan undang-undang perlu diambil tanpa mengira kedudukan, jawatan atau hubungan politik pihak yang terlibat," ujar beliau.
Terdahulu, tular di media sosial sepucuk surat bertarikh 18 Julai 2022 yang didakwa dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Pegawai Daerah Seremban berhubung aduan bertajuk Pencerobohan Tanah Kerajaan Yang Semakin Berleluasa.
Surat berkenaan memaklumkan Pejabat Menteri Besar telah menerima aduan mengenai dakwaan pencerobohan tanah kerajaan yang didakwa berlaku di bawah pimpinan ADUN DAP sebelum aduan itu dipanjangkan kepada Pegawai Daerah Seremban untuk perhatian dan tindakan lanjut mengikut minit arahan Menteri Besar.
Turut tersebar bersama surat itu ialah salinan aduan yang mendakwa berlaku pencerobohan tanah kerajaan di beberapa lokasi sekitar Seremban termasuk Kampung Pasir, Kampung Ismail, Rasah dan Rahang, selain mengandungi pelbagai dakwaan lain termasuk berkaitan penyalahgunaan pengaruh politik, permintaan wang "settlement" serta pembekalan utiliti kepada kawasan yang didakwa diceroboh.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya berdiam diri atau sekadar menyifatkan penyebaran dokumen tersebut sebagai permainan politik.
"Cara terbaik untuk menghentikan spekulasi ialah melalui pengesahan dokumen dan penerbitan hasil siasatan, tertakluk kepada keperluan undang-undang serta perlindungan terhadap siasatan yang masih berjalan.
"Aminuddin wajib memberikan penjelasan yang jelas, lengkap dan bertanggungjawab. Rakyat Negeri Sembilan menuntut supaya dokumen itu disahkan, arahan siasatan dijelaskan dan hasilnya diumumkan," katanya.
Beliau menegaskan, ketelusan dalam perkara itu penting bagi mempertahankan integriti pentadbiran negeri, melindungi aset kerajaan serta memastikan tiada sesiapa berada di atas undang-undang.
"Isu yang melibatkan tanah kerajaan, kemungkinan salah guna kuasa dan kepentingan rakyat Negeri Sembilan wajib ditangani secara serius, bukan disapu ke bawah permaidani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

