Tiga lelaki ditahan disyaki halang kerja pembersihan, ugut bakar jentera

Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai menghalang kerja pembersihan oleh beberapa pekerja sebuah syarikat pemaju, selain mengugut untuk membakar jentera, menghalau serta membaling batu ke arah kenderaan milik syarikat berkenaan - Foto hiasan
Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai menghalang kerja pembersihan oleh beberapa pekerja sebuah syarikat pemaju, selain mengugut untuk membakar jentera, menghalau serta membaling batu ke arah kenderaan milik syarikat berkenaan - Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai menghalang kerja pembersihan oleh beberapa pekerja sebuah syarikat pemaju, selain mengugut untuk membakar jentera, menghalau serta membaling batu ke arah kenderaan milik syarikat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 61 tahun itu di sekitar Kampung Chot dan Kampung Paya Besar, Chenor, pada 16 Julai lepas.

"Ketiga-tiga tangkapan telah dibawa ke hadapan Majistret Mahkamah Maran dan perintah reman sehari telah diluluskan pada 17 Julai,” katanya dalam kenyataan.

Kim Wai berkata, keterangan sokongan seperti rakaman video berkaitan laporan itu telah diperoleh dan lain-lain keterangan telah diberikan kepada pihak polis.

"Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya serta menambah kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata hingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada pihak penduduk Kampung Chot berkaitan kenyataan bahawa beberapa rumah penduduk telah dibakar oleh pihak pemaju.

Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berkepentingan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!