Empat remaja termasuk tiga beradik ditahan disyaki curi motosikal

SUNGAI PETANI - Polis menahan empat remaja lelaki termasuk tiga beradik, Selasa lepas, selepas disyaki aktif mencuri motosikal di kawasan parkir luar stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati semua anggota 'Geng Vetri' berusia 14 hingga 16 tahun itu aktif melakukan jenayah berkenaan sejak sebulan lepas.
"Modus operandi mereka ialah mencuri motosikal yang diparkir di kawasan terbabit dengan cara menolaknya seakan motosikal tersebut rosak.
"Nombor pendaftaran motosikal itu tidak ditukar, sebaliknya digunakan sendiri oleh suspek selain (dileraikan) dijadikan sebagai alat ganti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dekat sini pada Ahad.
Beliau berkata, ketua kumpulan tersebut yang berusia 15 tahun didapati tidak bersekolah manakala tiga beradik itu masih bersekolah dan kesemua remaja yang tidak memiliki rekod jenayah itu direman hingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Hanyan berkata, setakat Jun lepas, sebanyak 20 kes curi motosikal dilaporkan berlaku di kawasan tersebut.
Dalam kes lain, beliau berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia 25 hingga 31 tahun di Sidam Kiri dan Padang Serai, Selasa lepas, kerana disyaki terbabit dengan kes pecah rumah dan curi motosikal jenis Yamaha RXZ.
"Polis merampas satu kerambit, sepucuk pistol tiruan, sembilan butir bebola besi disyaki dijadikan peluru, syabu seberat 0.56 gram, dua motosikal Yamaha RXZ serta pelbagai komponen lain,” katanya menambah kesemua lelaki yang memiliki rekod berkaitan jenayah dan dadah itu disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.
Hanyan berkata, polis turut menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes ragut dengan penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun di Jalan Tupah, Merbok, baru-baru ini.
Beliau berkata, suspek yang memiliki 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan manakala usaha sedang dilakukan polis bagi mengesan dua lelaki dipercayai rakan jenayah suspek.
Kumpulan penjenayah itu, katanya, menyasarkan mangsa wanita yang memakai barangan kemas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
