Lelaki ditahan disyaki hina Islam di Facebook

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memuat naik kandungan berunsur hasutan yang menghina agama Islam menerusi aplikasi Facebook.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 1 pagi, Sabtu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri susulan laporan polis yang diterima.
"Hasil semakan mendapati pemilik akaun Facebook 'Fadzil Zahari' berkongsi beberapa gambar tangkap layar yang dimuat naik oleh pemilik akaun 'Parthiban Ragu' yang mengandungi penghinaan terhadap agama Islam serta menggunakan ungkapan bersifat lucah terhadap ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW.
"Semakan turut mendapati suspek berusia 37 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis merampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan dibenarkan direman selama empat hari sehingga hingga 28 Julai bagi membantu siasatan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh atau membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

