Konservasi bersepadu Pulau Sembilan kukuhkan kelestarian sumber marin Perak

LUMUT - Usaha konservasi bersepadu melibatkan propagasi karang, penanaman pokok ambong-ambong dan pembersihan pantai di Taman Negeri Pulau Sembilan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pemulihan ekosistem marin serta kelestarian sumber semula jadi negeri.
Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan 2026 anjuran Perbadanan Taman Negeri Perak pada Khamis menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan sukarelawan dalam usaha memulihara khazanah biodiversiti marin di kawasan berkenaan.
Program itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah yang berkenan menyempurnakan aktiviti melabuhkan struktur propagasi karang, menanam pokok ambong-ambong di Pulau Lalang serta melawat kawasan timbangan sampah pantai.
Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Lau Chin Fong berkata, Pulau Sembilan merupakan khazanah alam yang amat bernilai kepada Perak kerana memiliki biodiversiti marin yang tinggi selain penting kepada sektor perikanan.
"Usaha melabuhkan struktur propagasi karang merupakan langkah proaktif untuk memulihkan dan menambah semula litupan terumbu karang yang terjejas.
"Terumbu karang ialah habitat kepada pelbagai spesies hidupan marin. Apa yang kita lakukan hari ini merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan kelestarian ekosistem marin.
"Pada masa sama, menjamin sumber perikanan untuk sekuriti makanan dan menyokong industri pelancongan mampan yang memberi limpahan ekonomi kepada negeri," katanya dalam ucapan pada program berkenaan.

Menurut beliau, penglibatan Raja DiHilir Perak mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dalam menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
Beliau berkata, selain usaha pemulihan di dasar laut, aktiviti pembersihan pantai menjadi antara inisiatif penting bagi mengurangkan ancaman pencemaran marin terhadap hidupan laut dan ekosistem pesisir.
"Kita tidak mampu membersihkan seluruh lautan, namun usaha ini diharap dapat menyemai kesedaran bahawa menjaga kebersihan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab kerajaan sebaliknya amanah setiap individu," katanya.
Pada program tersebut, sukarelawan terlibat berjaya mengumpulkan sebanyak 1.2 tan sampah yang dimasukkan ke dalam 163 beg sebelum dihantar ke pusat pelupusan.

Tambah beliau, kejayaan program itu membuktikan usaha konservasi memerlukan kerjasama menyeluruh menerusi pendekatan keseluruhan masyarakat melibatkan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
Katanya, program berkenaan disertai penyelam daripada Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Nature and Oceanography Advocate Society (NOAS) dan Sembilan Diver.
Sementara itu, aktiviti pembersihan pantai melibatkan sukarelawan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, APMM, Persatuan Aktivis Sahabat Alam serta Lions Club of Ipoh Centennial.
Beliau berharap inisiatif konservasi berimpak tinggi seperti itu dapat diteruskan secara konsisten dan diperluaskan ke kawasan marin lain seterusnya memperkukuh komitmen Perak dalam mengurus sumber semula jadi secara lestari, mampan dan berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

