Rumah Exco Melaka ditimpa pokok tumbang, tiga kenderaan rosak

Keadaan kereta yang terjejas akibat dihempap pokok tumbang.
Keadaan kereta yang terjejas akibat dihempap pokok tumbang.
A
A
A

MELAKA - Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berdepan detik cemas apabila rumahnya di Pantai Peringgit di sini dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian awal pagi Rabu.

Kalsom berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika beliau sedang menunaikan solat sunat sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah.

Kalsom
Kalsom

"Saya sedang solat apabila terdengar bunyi kuat. Bila tengok ke halaman rumah, saya dapati pokok dah hempap bumbung hadapan rumah.

"Saya terus kejut anak dan cucu yang berada di rumah untuk memaklumkan kejadian sebelum menghubungi bomba. Syukur anggota bomba tiba dengan cepat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pokok di tepi jalan tumbang lalu menghempap kediaman Kalsom pada Rabu.
Pokok di tepi jalan tumbang lalu menghempap kediaman Kalsom pada Rabu.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pagar rumah dan bumbung garaj mengalami kerosakan, manakala tiga kenderaan miliknya turut terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Van dan dua buah kereta terkena pokok tumbang, salah satu daripada kereta mengalami kerosakan teruk.

"Alhamdulillah tiada sesiapa yang cedera. Mujur pokok itu tumbang di halaman rumah. Kalau terkena orang yang lalu di jalan raya, mungkin lebih buruk akibatnya. Tak mengapa kalau kereta rosak, yang penting semua selamat," ujarnya.

Keadaan bumbung yang rosak ditimpa pokok tumbang.
Keadaan bumbung yang rosak ditimpa pokok tumbang.

Kalsom berkata, beliau sebelum ini pernah membuat aduan berhubung keadaan pokok berkenaan, namun dimaklumkan kos untuk menebangnya dianggarkan mencecah RM20,000.

“Saya perhatikan pokok ini tidak mempunyai akar tunjang. Sebab itu saya rasa lebih baik pokok-pokok seperti ini ditebang demi keselamatan orang ramai," katanya.

Keadaan pokok yang tumbang lalu menghempap kediaman Kalsom pada Rabu.
Keadaan pokok yang tumbang lalu menghempap kediaman Kalsom pada Rabu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.44 pagi.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira enam minit kemudian.

"Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap bahagian bumbung hadapan rumah pemanggil.

"Anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja memotong batang pokok serta membersihkan kawasan yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 6 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.40 pagi dengan bantuan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan pihak MBMB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!