Kuih keria terbanyak, replika konda-kondi terbesar cipta rekod MBOR

SHAH ALAM - Festival Sungai Melaka (FSM) 2026 mencipta sejarah apabila meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan 10,670 biji kuih keria, iaitu jumlah terbanyak dalam satu acara dan pembinaan replika konda-kondi terbesar.
Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengangkat warisan kulinari dan permainan tradisional Melayu, malah memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya dan warisan.
Pengiktirafan pertama diberikan atas kejayaan menghasilkan sebanyak 10,670 biji kuih keria, sekali gus melepasi sasaran asal sebanyak 10,000 biji dan mencipta rekod baharu dalam MBOR
"Pencapaian ini membuktikan komiten Kerajaan Negeri Melaka bersama PPSPM, Bahagian Promosi Pelancongan (Tourism Melaka) serta rakan-rakan strategik dalam memartabatkan kuih tradisional sebagai warisan kulinari yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti tersendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Sebaik selesai proses pengiktirafan, ribuan kuih keria yang dihasilkan di Dataran Pengkalan Rama diagihkan kepada pengunjung sebagai simbolik perkongsian kejayaan bersama masyarakat.
Dalam pada itu, Festival Sungai Melaka 2026 turut mencipta satu lagi rekod MBOR menerusi kategori replika konda-kondi terbesar yang direalisasikan oleh NUHEA Sdn Bhd selaku penaja utama Pertandingan Konda-Kondi.

Pertandingan terbabit adalah usaha memelihara, memperkenalkan dan menghidupkan semula permainan warisan kepada generasi muda dan pelancong dari dalam serta luar negara.
Menurut PPSPM, penghasilan replika berkenaan juga merupakan penghargaan terhadap usaha Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam mengangkat semula permainan konda-kondi sebagai antara warisan budaya negeri.
Katanya, kedua-dua pengiktirafan rekod MBOR itu menjadi kemuncak Festival Sungai Melaka 2026 yang menghimpunkan pelbagi program berteraskan warisan, kebudayaan dan perlancongan.
Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian berteraskan warisan, kebudayaan, pelancongan, sukan, komuniti dan kekeluargaan bagi memperkayakan pengalaman pelancongan di Melaka.
Dengan dua pengiktirafan terbaharu itu, Melaka kini berjaya mengumpul lima pengiktirafan MBOR sepanjang tiga tahun pentadbiran Ab Rauf.

Antara rekod yang pernah dicatatkan ialah Largest Digital Hits for Malaysia Tourism on WeChat Platform Using Celebrity Ambassador, Most Onde-Onde (Kuih Buah Melaka) Produced in One Event, First State to Organise Konda-Kondi Tournament, selain dua rekod terbaharu iaitu Most Kuih Keria Produced in One Event dan Largest Konda-Kondi Replica.
PPSPM berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkasakan sektor pelancongan melalui penganjuran program berimpak tinggi yang mengangkat warisan, budaya dan identiti negeri, selaras aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

