Prabudass dan Haziq unggul, SCORE Marathon 2026 pahat rekod MBOR

DUA jaguh larian jarak jauh negara, K Prabudass dan Muhammad Haziq Hamzah mencuri tumpuan apabila masing-masing muncul juara kategori Terbuka Lelaki Malaysia pada SCORE Marathon 2026 oleh AIA Vitality yang melakar sejarah sebagai acara larian terbesar negara.
Prabudass menepati ramalan apabila menguasai saingan separuh maraton 21 kilometer (km) selepas mencatat masa 1 jam 13 minit 4 saat, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai antara pelari terbaik negara.
Pelari berusia 36 tahun itu bagaimanapun mengakui kemenangan tersebut bukan mudah selepas terpaksa menguruskan rentak perlumbaan susulan faktor usia selain keletihan selepas menyertai kejohanan lain dua minggu sebelum itu.
Beliau berjaya menewaskan G Vimal yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 1:13:58, manakala Lai Yi Hng melengkapkan podium dengan masa 1:14:57.
“Saya datang ke sini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah rekod 50,000 peserta dan gembira dapat berlari semula dengan rakan-rakan lama.
“Mengenai rekod kebangsaan, saya akan lihat tahap latihan dahulu. Jika prestasi memberangsangkan, tidak mustahil saya akan memecahkannya lagi di luar negara,” katanya di Putrajaya pada Ahad.

Sementara itu, Haziq pula mencipta kejayaan dalam kategori lebih mencabar apabila muncul juara maraton penuh 42km dengan catatan 2:44:45.
Haziq mengetepikan cabaran Lim Kok Leong yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 2:48:53, manakala Mohamad Amirul Arif Mohd Azri berada di kedudukan ketiga selepas merekodkan 2:49:33.
Menurut Haziq, laluan berbukit di Putrajaya serta cuaca panas menjadi ujian utama sepanjang perlumbaan, namun pengalaman menyertai kejohanan di Gold Coast, Australia sebelum ini membantu persiapannya.
“Alhamdulillah untuk kemenangan kali ini. Fokus saya selepas ini adalah untuk persiapan ke Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM),” katanya.
Kejayaan kedua-dua pelari negara itu hadir ketika SCORE Marathon 2026 mencipta rekod tersendiri apabila menghimpunkan 51,077 peserta dalam tempoh dua hari penganjuran, sekali gus menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Acara Larian Terbesar di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, penganjuran kali ini memberi fokus kepada peningkatan pengalaman peserta menerusi konsep cabaran berganda selain pelbagai aktiviti sokongan di lokasi acara.
“Sejak 2014, kami sentiasa berusaha meningkatkan standard penganjuran.
"Bajet kami tahun ini lebih banyak digunakan untuk memberi nilai tambah kepada peserta dan kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelari luar negara pada masa hadapan bagi merancakkan pelancongan sukan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
