Serendah RM1, bantu asnaf terima bekalan kit makanan selama setahun

MELAKA - Serendah RM1 orang ramai boleh menyumbang bagi membantu golongan asnaf dan keluarga B40 menerima kit makanan bulanan selama setahun menerusi program Foodbank ‘Dari Komuniti Kepada Komuniti’ di bawah inisiatif Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, program yang dilancarkan di Pusat Food Bank DMDI di Kota Cemerlang Ayer Keroh itu menyasarkan untuk membantu 2,000 keluarga pada peringkat awal.
Menurutnya, bantuan akan disalurkan secara bulanan kepada penerima yang telah dikenal pasti dan disaring oleh jawatankuasa Food Bank DMDI.
“Bagi permulaan, kita bermula dengan 200 keluarga terlebih dahulu sebelum diperluaskan sehingga 2,000 keluarga yang memerlukan, kebanyakannya daripada golongan B40.
“Kita berkolaborasi bersama kepimpinan masyarakat di Melaka untuk mengenal pasti penerima yang layak menerima bantuan kit makanan setiap bulan selama setahun,” katanya kepada pemberita di Pusat Food Bank DMDI di Kota Cemerlang pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyumbang boleh melayari laman sesawang Food Bank DMDI dan tiada had minimum atau maksimum ditetapkan untuk sumbangan yang diterima.
“Untuk program ini, kita tidak meletakkan sebarang had. Orang ramai boleh menyumbang serendah RM1 atau mengikut kemampuan dan keikhlasan masing-masing.
“Sumbangan yang diterima akan digunakan untuk menyediakan kit makanan yang kemudiannya dihantar terus ke rumah penerima yang telah dipilih,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, penerima bantuan terdiri daripada mereka yang dicadangkan oleh pemimpin masyarakat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri sebelum melalui proses saringan.
Menurutnya, fokus utama bantuan adalah kepada golongan yang tidak menerima bantuan daripada agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal.
“Program ini merupakan inisiatif bantuan berterusan selama setahun kepada keluarga yang telah dikenal pasti.
“Sementara bagi mangsa bencana seperti banjir, kita turut menyediakan bantuan kit makanan secara ad hoc berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Yayasan DMDI kini dalam proses membuat permohonan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan kelulusan pengeluaran resit pengecualian cukai kepada penyumbang.
Dalam majlis berkenaan, Yayasan DMDI menerima sumbangan berupa barangan makanan bernilai RM16,000 daripada penyumbang untuk dibungkus dan diagihkan kepada penerima yang layak.
Orang ramai yang ingin turut sama dalam usaha Food Bank DMDI ini boleh melayari di www.foodbankdmdi.org
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

