Terengganu raih RM1.5 bilion, terima 6.5 juta pelancong

Razali ketika berucap berucap sempena Majlis Digitalisasi Pelancongan Terengganu Bersama redBus Malaysia pada Khamis.
Razali ketika berucap berucap sempena Majlis Digitalisasi Pelancongan Terengganu Bersama redBus Malaysia pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu berjaya menarik kedatangan kira-kira 6.5 juta pelancong bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sekali gus menjana pendapatan dianggarkan antara RM1.4 bilion hingga RM1.5 bilion.

​Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sektor pelancongan tempatan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah berkenaan manakala selebihnya iaitu 30 peratus terdiri daripada pelawat antarabangsa.

​Menurutnya, perkembangan itu memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk merealisasikan sasaran kehadiran sembilan juta pelancong sepanjang tahun ini.

​"Perkembangan sektor pelancongan negeri memperlihatkan kita berada pada landasan yang betul. Merujuk Survei Pelancongan Domestik 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu merekodkan 15.46 juta pelawat domestik tahun lalu berbanding 14.46 juta pada 2024, melonjak 6.9 peratus.

​"Daripada angka tersebut, seramai 5.2 juta pelancong memilih untuk menginap di negeri ini. Rekod ini membuktikan Terengganu bukan lagi sekadar lokasi persinggahan, sebaliknya menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang inginkan percutian berkualiti dengan tempoh penginapan lebih lama," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Digitalisasi Pelancongan Terengganu Bersama redBus Malaysia di sini pada Khamis.

​Hadir sama, Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku A Rahman.

​Mengulas lanjut, Razali menjelaskan prestasi sektor pelancongan Terengganu memperlihatkan peningkatan secara konsisten sejak fasa pascapandemik bermula.

​Jelas beliau, kemasukan pelawat tempatan terus meningkat bermula daripada 3.72 juta pada 2021, sebelum melonjak kepada 10.23 juta (2022), 11.76 juta (2023), 14.46 juta (2024) dan seterusnya 15.46 juta pada 2025, sekali gus mencerminkan kepercayaan berterusan pelancong terhadap Terengganu.

Artikel Berkaitan:

​Tambah beliau, kejayaan berkenaan berpunca daripada komitmen serta kerjasama erat pemain industri pelancongan dan kebudayaan yang bertindak sebagai rakan strategik kerajaan negeri.

​Katanya, kecenderungan pelawat tempatan menunjukkan majoriti daripada mereka berkunjung bagi tujuan bercuti menggunakan pengangkutan darat di samping menyumbang kepada perbelanjaan sektor makanan dan minuman, penginapan serta aktiviti membeli-belah.

​"Mutu perkhidmatan perlu sentiasa diperkemas menerusi penyampaian yang lebih cekap selain memanfaat penggunaan platform digital demi meningkatkan perbelanjaan pelancong di negeri ini.

​"Pada masa kini, urusan mencari maklumat, membuat keputusan dan tempahan perjalanan semuanya dilakukan secara dalam talian. Pendigitalan kini menjadi satu keperluan mendesak. Platform seperti redBus membuka ruang lebih luas buat pengusaha tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat lebih tinggi," jelasnya.

​Sementara itu, Razali mengumumkan kerajaan negeri bakal mengetengahkan tema 'Truly Terengganu' sempena Tahun Melawat Terengganu 2027.

​Katanya, langkah itu bakal memperkenalkan keunikan produk pelancongan, warisan budaya serta keindahan alam semula jadi Terengganu di mata dunia, seterusnya memantapkan kedudukannya sebagai destinasi tumpuan utama negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!