Penduduk Kampong Bharu harap tidak dikenakan PKPD

Anggota PDRM sedang mengawal dan memantau pergerakan keluar masuk di Pangsapuri PKNS Kampong Bharu hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anggota PDRM sedang mengawal dan memantau pergerakan keluar masuk di Pangsapuri PKNS Kampong Bharu hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penduduk di Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampong Bharu berharap kawasan itu tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri PKNS, Mar Daing Matrok berkata, dalam usaha mencapai hasrat itu, penghuni dari Blok A dan B di sini mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dan merekodkan pergerakan keluar masuk untuk tujuan pemantauan.

“Kalau boleh, kita memang tak nak Pangsapuri PKNS dikenakan PKPD seperti mana yang berlaku di Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

“Namun sekiranya ada jangkitan, kita tetap membantu kerajaan untuk memutuskan rangkaian wabak daripada terus menjangkiti masyarakat luar,” katanya di sini hari ini.

Seorang penghuni kelihatan termenung di tingkap Pangsapuri PKNS Kampong Bharu hari ini.Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Seorang penghuni kelihatan termenung di tingkap Pangsapuri PKNS Kampong Bharu hari ini.Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Mar berkata, seramai 908 penduduk sudah menjalani ujian saringan iaitu 201 penduduk pada sesi pertama manakala selebihnya pada sesi kedua.

Beliau berkata, ketika ini mereka menunggu tarikh bagi saringan ketiga melibatkan baki 40 penghuni yang belum menjalani pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, 40 penduduk ini tidak berkesempatan untuk menjalani ujian kerana ketika saringan dibuat, mereka keluar bekerja.

“Keputusan ujian Covid-19 akan diketahui dalam masa lima ke tujuh hari daripada tarikh saringan namun kami akan terus menjalani kuarantin selama dua minggu sehingga 25 April ini,” katanya.

Pada 26 Mac lalu, Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang Johor merupakan kawasan pertama dikenakan PKPD.

Anggota PDRM sedang mengawal dan memantau pergerakan keluar masuk di Pangsapuri PKNS Kampong Bharu hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anggota PDRM sedang mengawal dan memantau pergerakan keluar masuk di Pangsapuri PKNS Kampong Bharu hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Ia diikuti pada 30 Mac, Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor diletakkan sebagai zon PKPD kedua selepas 71 kes daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah positif Covid-19.

Kerajaan kemudian mengenakan ‘perintah berkurung’ ketiga yang lebih tertumpu membabitkan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, pada 31 Mac lalu.

Sementara pada 7 April, PKPD keempat dikenakan terhadap dua unit bangunan kediaman di ibu negara iaitu Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang mana 97 peratus daripada penduduknya merupakan warga asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Kampung Baru bukan lagi syurga makanan warisan