AS lancar serangan ke atas Iran untuk malam ke-11 berturut-turut

Konflik antara Washington dan Teheran kembali memuncak selepas runtuhnya memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua pihak pada Jun lalu bagi meredakan ketegangan di Selat Hormuz
Konflik antara Washington dan Teheran kembali memuncak selepas runtuhnya memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua pihak pada Jun lalu bagi meredakan ketegangan di Selat Hormuz
A
A
A

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi siri serangan ke atas sasaran ketenteraan di Iran, menjadikan operasi berkenaan memasuki malam ke-11 berturut-turut di tengah-tengah ketegangan yang terus meningkat antara kedua-dua negara.

Komando Pusat AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pasukannya mula melancarkan serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran pada jam 7 malam waktu Timur AS (2300 GMT).

Menurut CENTCOM, operasi itu bertujuan untuk terus melemahkan keupayaan Iran yang didakwa mengancam laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz, salah satu laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.

Setakat ini, pihak tentera AS tidak mendedahkan sasaran khusus yang diserang dalam gelombang terbaharu tersebut.

Bagaimanapun, laporan media menyatakan letupan kedengaran di beberapa lokasi termasuk wilayah Tabriz di barat laut Iran, sekitar Tehran serta beberapa kawasan di selatan negara itu.

Jika serangan ke atas Tabriz disahkan, ia akan menandakan perubahan dalam corak operasi AS yang sebelum ini lebih banyak tertumpu di kawasan selatan Iran dan sekitar Selat Hormuz.

Konflik antara Washington dan Tehran kembali memuncak selepas runtuhnya memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua pihak pada Jun lalu bagi meredakan ketegangan di Selat Hormuz.

Sejak itu, kedua-dua negara dilihat bersaing untuk mengukuhkan pengaruh dan kawalan ke atas laluan perairan strategik tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran dilaporkan meneruskan serangan terhadap aset dan sekutu AS di rantau Teluk.

Artikel Berkaitan:

Beberapa negara termasuk Kuwait, Bahrain dan Qatar sebelum ini melaporkan ancaman serangan peluru berpandu dan dron susulan peningkatan operasi ketenteraan antara kedua-dua negara.

Presiden AS Donald Trump turut memberi bayangan bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran mungkin akan dipertingkatkan.

Beliau sebelum ini menyatakan Washington tidak berminat untuk mengadakan rundingan dalam masa terdekat dan memberi amaran bahawa lebih banyak sasaran strategik Iran boleh diserang jika konflik berterusan.

Penganalisis berkata konflik yang berlarutan berpotensi memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global memandangkan Selat Hormuz mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dan gas asli dunia.- Agensi/Awani 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!