Karhutla ancam lukisan gua tertua di dunia

Haba merupakan ancaman paling besar terhadap lukisan gua berkenaan kerana perubahan suhu boleh mempercepatkan proses kerosakan. Foto Agensi
Haba merupakan ancaman paling besar terhadap lukisan gua berkenaan kerana perubahan suhu boleh mempercepatkan proses kerosakan. Foto Agensi
A
A
A

MAROS-PANGKEP - Lukisan gua purba tertua di dunia yang ditemukan di Pulau Sulawesi, Indonesia berdepan ancaman kemusnahan susulan kebakaran hutan dan tanah (karhutla) paling buruk di negara itu dalam tempoh lebih sedekad ketika operasi bersepadu di enam wilayah utama terus dipergiatkan.

Haba dan asap dikhuatiri menjejaskan karya seni berusia lebih 67,000 tahun itu.

Sebelum ini, penyelidik dari Universiti Griffith, Australia menganggarkan lukisan yang menggambarkan figura menyerupai manusia sedang berinteraksi dengan seekor babi itu berusia sekurang-kurangnya 51,200 tahun.

Sementara lukisan cap tangan berwarna kemerahan yang ditemukan di sebuah gua di Pulau Muna berhampiran Sulawesi dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 67,800 tahun.

Berhampiran gua di Maros-Pangkep, anggota bomba berusaha mengawal api ketika asap menyelubungi landskap batu kapur karst yang menjadi ciri utama Taman Negara dan Geopark Global UNESCO di kawasan berkenaan.

Anggota bomba, Muhammad Ikfar berkata, kebakaran berlaku berhampiran tapak bersejarah itu selama lebih seminggu pada awal bulan ini dengan api dilaporkan menghampiri gua berkenaan pada jarak kira-kira 800 meter.

Menurutnya, lebih 270 hektar kawasan taman negara itu musnah dijilat api antara 30 September hingga 18 Oktober lalu.

Ahli arkeologi Universiti Griffith, Basran Burhan memaklumkan haba merupakan ancaman paling besar terhadap lukisan gua berkenaan kerana perubahan suhu boleh mempercepatkan proses kerosakan meskipun api tidak menyentuh permukaannya secara langsung.

Selain haba, asap kebakaran turut menghasilkan jelaga yang boleh menjejaskan kejelasan imej hingga ia sukar dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Basran menggesa langkah mitigasi segera dilaksanakan bagi mengelakkan kehilangan khazanah arkeologi yang amat bernilai itu.

“Bukti penting dalam sejarah manusia yang terdapat di Maros-Pangkep berisiko lenyap sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk memelihara warisan purba itu. Kehilangannya pasti menjadi satu kerugian besar,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!