Perang Iran-AS semakin rumit

TEHERAN - Perang lebih ganas yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran kini berdepan kesan sebaliknya apabila Washington terpaksa menangani peningkatan serangan balas dan risiko terhadap tenteranya.
Pentagon mendedahkan hampir 100 anggota tentera mereka cedera sejak kempen pencerobohan ke atas Teheran dilancarkan semula, dua minggu lalu.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada Selasa mendakwa mereka terus menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan AS termasuk sistem pertahanan udara dan pemasangan radar di Bahrain serta Kuwait.
Situasi di Selat Hormuz juga kekal tegang selepas sebuah kapal tangki dilaporkan terkena objek tidak dikenali menyebabkan anak kapalnya terpaksa melarikan diri menaiki bot penyelamat.
Kuwait, Bahrain dan Jordan memaklumkan mereka telah mengaktifkan sistem pertahanan bagi mematahkan serangan tersebut.
Bagaimanapun, peningkatan jumlah kecederaan anggota AS di beberapa kemudahan ketenteraan di rantau itu dijangka mengundang perhatian lebih besar terhadap siri serangan balas Iran.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata sebahagian besar anggota yang cedera hanya mengalami 'gegaran otak ringan' dan 96 peratus daripada mereka telah kembali bertugas.
Pendedahan itu dibuat sebagai respons terhadap laporan New York Times yang mendakwa Pentagon menyembunyikan maklumat mengenai kecederaan anggota tentera akibat tindak balas agresif Teheran.
Selain itu, sekurang-kurangnya tiga kematian askar AS dilaporkan di Iraq dan Jordan sejak minggu lalu.
Kempen serangan udara AS selama 10 malam berturut-turut masih gagal memaksa Teheran berundur daripada kawalannya terhadap Selat Hormuz. Sebaliknya, ia mengumumkan operasi ketenteraan berskala besar ke atas Washington hingga menyebabkan ia mengeluarkan amaran keselamatan kepada rakyatnya di seluruh dunia susulan ketegangan yang kian memuncak di Asia Barat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

