Penumpang tren terpaksa berkongsi gerabak dengan mayat selama 12 jam

MUMBAI - Penumpang sebuah tren di India terpaksa meneruskan perjalanan bersama mayat seorang pesakit kanser selama kira-kira 12 jam selepas lelaki itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang daripada mendapatkan rawatan.
Binod Paswan, 45, dari Bhatpara, Bengal Barat, dilaporkan meninggal dunia ketika menaiki tren Gitanjali Express (12859) dari Mumbai menuju Howrah selepas menjalani rawatan di Hospital Tata Memorial di Mumbai.
Tren berkenaan didakwa mengalami kelewatan ketika kejadian berlaku.
Mayat lelaki itu akhirnya dibawa keluar dari tren di Stesen Persimpangan Tatanagar, Jamshedpur, di negeri Jharkhand pada malam Sabtu.
Menurut penumpang, Paswan berada di gerabak M-2 ketika meninggal dunia pada pagi hari sama.
Mereka mendakwa pemeriksa tiket tren (TTE) telah dimaklumkan mengenai kematian Paswan dan mereka diberitahu bahawa pemeriksaan perubatan akan dilakukan bagi mengesahkan kematian lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, tiada tindakan segera diambil hingga menyebabkan mayat itu terus berada di dalam gerabak dan perjalanan diteruskan bersama penumpang lain.
Selepas gagal mendapatkan penyelesaian, seorang penumpang tampil membangkitkan isu itu di media sosial kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan) dengan menandakan akaun Menteri Kereta Api, Ashwini Vaishnaw dan menggunakan platform aduan Rail Madad.
Kejadian itu turut mendedahkan rungutan penumpang mengenai keadaan tren yang tidak diselenggara dengan baik. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

