Iran beri amaran tiada kapal tangki boleh lalui Selat Hormuz tanpa kebenaran

IRGC memberi amaran bahawa tiada kapal tangki minyak atau gas asli cecair (LNG) dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran. Foto AFP
IRGC memberi amaran bahawa tiada kapal tangki minyak atau gas asli cecair (LNG) dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran. Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Ahad memaklumkan bahawa dua kapal didakwa melanggar peraturan dalam insiden di Selat Hormuz, sambil memberi amaran bahawa tiada kapal tangki minyak atau gas asli cecair (LNG) dibenarkan melalui laluan air itu tanpa kebenaran, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut tentera Iran, empat kapal yang disokong Amerika Syarikat (AS) mengabaikan amaran yang dikeluarkan oleh tentera laut IRGC di Selat Hormuz ketika cuba melalui laluan yang disifatkan sebagai "tidak selamat" pada Ahad selepas mematikan sistem navigasi masing-masing.

"Akibatnya, dua kapal berhenti selepas berlaku insiden, manakala dua lagi berpatah balik," menurut IRGC seperti dipetik oleh akhbar Etemad Online.

IRGC menegaskan bahawa Iran mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz dan satu-satunya laluan selamat untuk perkapalan ialah laluan yang ditetapkan oleh Iran.

"Seperti yang dinyatakan, walau setitik minyak, gas atau baja sekalipun tidak akan dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa penyelarasan dan kebenaran daripada Iran," tambah IRGC. - Bernama-Sputnik/RIA Novosti

 

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!