AS lancar serangan baharu, letupan dilaporkan di beberapa kawasan Iran

ISTANBUL - Letupan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Iran pada lewat Isnin ketika Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi siri serangan terhadap negara itu, lapor Anadolu Ajansi memetik media Iran.
Penyiar negara IRIB melaporkan satu letupan berlaku di Bandar Abbas, ibu negeri wilayah Hormozgan di selatan Iran.
Agensi Berita Fars pula melaporkan bunyi letupan kedengaran di ruang udara Pulau Qeshm dan perairan berhampiran, manakala satu lagi letupan dilaporkan berlaku di Sirik, juga di Hormozgan.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan satu letupan berlaku di Shiraz, wilayah Fars di selatan negara itu.
Menurut agensi berkenaan, sebanyak 14 letupan kedengaran di ruang udara bandar Chabahar dan Konarak di wilayah Sistan dan Baluchestan di tenggara Iran dalam tempoh beberapa jam lalu.
Agensi Berita Mehr melaporkan sistem pertahanan udara kedengaran beroperasi berhampiran Loji Tenaga Nuklear Bushehr di selatan Iran.
Mehr turut melaporkan dua letupan berlaku di bandar Isfahan di tengah negara itu.
Bagaimanapun, media Iran kemudian memetik Timbalan Gabenor Wilayah Isfahan bagi hal ehwal keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang sebagai menafikan berlaku sebarang serangan musuh atau letupan di wilayah berkenaan.
Tiada laporan segera mengenai kematian, kecederaan atau kerosakan.
Sementara itu, Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata pihaknya melancarkan satu lagi siri serangan terhadap Iran atas arahan pemerintah tertinggi, dengan operasi itu bertujuan melemahkan lagi keupayaan ketenteraan Iran yang digunakan untuk menyerang kapal dagang di Selat Hormuz. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
