Kelantan roboh premis, penempatan haram Rohingya atas tanah kerajaan

TANAH MERAH – Sebuah premis dan tiga rumah yang didiami etnik Rohingya di atas tanah milik kerajaan negeri di Pechong di sini dirobohkan dalam operasi bersepadu membabitkan sembilan agensi penguat kuasa pada Selasa.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tindakan tegas itu diambil selepas struktur berkenaan didapati dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK) sebelum disewakan kepada warga asing etnik Rohingya.
Menurut beliau, operasi bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu diketuai Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM) dengan kerjasama beberapa agensi lain.
"Antara struktur yang dirobohkan ialah sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang dibina tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

"Tindakan ini dibuat bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram selain menangani isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah serta mengelakkan aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Ujar beliau, operasi itu melibatkan seramai 108 pegawai dan anggota daripada PTG, PTJTM, Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Hilmi berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau tanah rizab sebelum memajukan serta menyewakannya kepada warga asing.
"Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tanah kerajaan tidak disalahgunakan dan segala bentuk pencerobohan dapat dibanteras," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

