Tular dakwaan guna jet rasmi: AMK Kelantan nafi Tengku Zafrul, Kamil salah guna aset kerajaan

KOTA BHARU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan tampil menepis dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim, dengan penyalahgunaan jet rasmi kerajaan bagi tujuan politik dan peribadi.
Timbalan Ketua AMK Kelantan, Wan Hafriz Wan Mahathir, menegaskan dakwaan tersebut tidak benar, tidak berasas dan merupakan fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat.
Menurut beliau, video yang tular itu sebenarnya dirakam pada 18 April lalu ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kelantan.
"Pada ketika itu, Tengku Zafrul dan Kamil mengiringi Perdana Menteri atas urusan rasmi, bukannya menggunakan aset kerajaan atas kapasiti sendiri seperti yang didakwa.
"Dakwaan kononnya mereka menggunakan jet rasmi kerajaan bagi tujuan politik dan peribadi adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Wan Hafriz turut menjelaskan bahawa dakwaan aset kerajaan digunakan semata-mata untuk program politik juga tidak tepat.
Katanya, Konvensyen Keadilan Kelantan diadakan pada tarikh yang sama dan merupakan program terakhir sebelum delegasi berkenaan berlepas pulang dari Kelantan.
"Ketika menghantar delegasi ke lapangan terbang, anggota Keadilan yang turut serta memakai baju parti kerana pergerakan ketika itu sangat pantas dan singkat, bukannya sebagai bukti bahawa aset kerajaan digunakan untuk tujuan politik," katanya.
Beliau berkata, semua pihak diminta menghentikan penyebaran maklumat palsu serta membuat semakan terhadap kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi.
Menurutnya, penyebaran fitnah bukan sahaja mencemarkan reputasi individu, malah berpotensi mengelirukan rakyat dan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kerajaan.
"Saya berharap penjelasan ini dapat menghentikan segala spekulasi dan memastikan masyarakat memahami fakta sebenar berhubung isu yang tular," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

